selamat menonton
Latest News

Ketatkan Undang-Undang.

Posted by perkasan on Ahad, 30 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Sivakumar layak kena ESCAR - Perkasa

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Tindakan tegas menggunakan peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Kes-kes Keselamatan) 1975 (ESCAR) adalah selayaknya bagi bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perbuatan Sivakumar dengan mengeluarkan arahan untuk mengadakan sidang DUN Perak Rabu ini tanpa perkenan jelas merupakan penderhakaan terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Tegas beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) Perak termasuk Speaker barunya, Datuk R. Ganesan adalah sah secara demokrasi setelah diputuskan oleh baginda dan mahkamah.

"Ini bermakna perbuatan Sivakumar itu selain mencabar dan menderhaka kepada Sultan Azlan Shah kerana tidak terlebih dahulu mendapat perkenan baginda, beliau juga telah mencabar keputusan mahkamah itu.

"Selayaknya Sivakumar dikenakan tindakan mengikut ESCAR atau mana-mana peruntukan yang sewajarnya kerana perbuatan beliau itu jelas akan menghuru-harakan negeri serta tidak menghormati keluhuran Perlembagaan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Sivakumar yang masih menganggap dirinya sebagai 'speaker' apabila menghantar surat kepada semua ADUN untuk memanggil sidang DUN Rabu ini.

Sehubungan itu, Ganesan telah membuat laporan polis meminta pihak berkenaan menyiasat segera dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Sivakumar.

Peruntukan di bawah Artikel 36 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut kuasa memanggil sidang DUN adalah merupakan kuasa mutlak Sultan Perak.

Sementara itu, Peruntukan ESCAR pernah digunakan untuk mendakwa 29 anggota Al-Maunah pada 2000 yang merancang untuk mengkhianati negara dengan menentang kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Bagaimanapun dalam kes itu, pendakwaan dibuat secara terbuka mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong atau pemerintah atau Yang Dipertua Negeri yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Bekas Peguam Negara pada masa itu, Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa berperang dalam konteks Kanun Keseksaan hanya merupakan istilah teknikal perundangan yang bermaksud perbuatan khianat terhadap sebuah kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

Dalam pada itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Datuk Reezal Merican Naina Merican menyifatkan Sivakumar sebagai 'bidak' kepada kepentingan politik pihak lain.

"Sebagai bidak, Sivakumar hanya bergerak di atas arahan dan keuntungan politik sempit pihak tertentu. Kita tidak boleh tunduk dengan individu 'hilang akal' begini.

"Sekiranya Sivakumar seorang yang bertanggungjawab, dia perlu berhenti daripada terus diperbudakkan demi kepentingan politik orang tertentu.

"Kita percaya majoriti rakyat Perak sudah bosan dengan 'permainan politik murahan' seperti ini." katanya.

Tambah Reezal Merican, polis perlu mengambil tindakan tegas sekiranya sidang DUN Rabu ini tetap diteruskan mengikut Akta Polis yang membenarkan tangkapan dibuat apabila perhimpunan secara haram tanpa permit dilaksanakan.

Mengulas isu sama, Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, perbuatan Sivakumar amat melampau dan melepasi had kesabaran orang Melayu di negara ini.

Tegas beliau, perbuatan itu bukan sahaja telah menghina institusi beraja di negara ini tetapi telah meninggalkan titik hitam kepada ketaatan dan kedaulatan institusi Raja Berperlembagaan.

"Seharusnya hukuman berat harus diambil terhadap penderhaka ini," katanya.

Ulasan Tentang Syurga Milik Siapa..

Posted by perkasan on Ahad, 23 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Isu tidak masuk syurga: Nik Aziz perlu bertaubat

KUALA LUMPUR - Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat perlu bertaubat apabila beliau mendakwa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

“Saya minta dia mengucap banyak-banyak kerana berani mendahului ketentuan Allah SWT dalam menentukan seseorang itu masuk syurga atau neraka,” tegasnya.

Beliau berkata, Pas bukan pertubuhan agama, sebaliknya hanya berjuang untuk mendapatkan kuasa politik walaupun terpaksa berbohong dan mengeluarkan fatwa karut.

Menurutnya, kenyataan Nik Aziz itu seolah-olah membayangkan dia berhak untuk mengkafirkan mana-mana individu Islam atau kumpulan yang tidak menyokong perjuangan Pas.

Bagaimana pun katanya, Nik Aziz tidak berani pula untuk mengkafirkan DAP kerana lebih mengutamakan agenda politik dan kuasa.

“Mursyidul Am Pas itu tergamak menyesatkan pemikiran umat Islam demi untuk terus bersubahat dengan DAP,” tegasnya.

Beliau berkata, menyertai mana-mana pertubuhan dengan alasan dijamin masuk syurga menyamai ajaran sesat dan bertentangan dengan Islam.

“Saya sungguh terkejut dan sedih dengan kenyataan Nik Aziz sepertimana dilaporkan akhbar. Sungguh malang bagi seorang tokoh yang sebelum ini disifatkan sebagai ulama sanggup mengeluarkan kenyataan mengelirukan,” tegasnya.

Menurut beliau, Pas perlu bertanggungjawab di atas kekeliruan dan perpecahan kalangan umat Islam disebabkan fatwa karut Nik Aziz itu.

Katanya, jika benar dakwaan akhbar, maka Nik Aziz perlu memohon maaf kepada seluruh ahli-ahli UMNO yang merupakan majoriti umat Islam di negara ini.

Berfikirlah Dulu Sebelum Berkata-kata.

Posted by perkasan on Sabtu, 22 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Berdosa label orang Islam sebagai kafir: Mahathir

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, adalah berdosa bagi seorang Islam untuk melabelkan orang Islam yang lain sebagai kafir.

:“Kalau kita tuduh seorang yang Islam itu kafir, yang menuduh itulah yang jadi kafir.

:“Itu kita kena tengoklah, sama ada dia punya hati kecil dapat yakinkan dia, yang dia tidak berdosa. Saya ingat dia berdosa,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Isnin lepas yang mendakwa ajaran Islam yang diamalkan UMNO tidak boleh membawa anggota dan penyokong parti itu ke syurga.:

:Dr Mahathir berkata, orang Melayu adalah satu-satunya bangsa di dunia yang mengaitkan bangsa mereka dengan agama yang dianuti iaitu Islam.

:“Seluruh dunia, saya ingat iktiraf orang Melayu sebagai orang Islam.

:”Inilah satu bangsa yang dikaitkan bangsanya dengan agama. Seorang itu tidak Melayu kalau dia tidak Islam,” katanya:.

:Dr Mahathir yang juga Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana turut mengingatkan orang Melayu jangan hanya berpegang kepada pepatah Hang Tuah iaitu ’Takkan Melayu Hilang di Dunia'.

:“Apa yang dikatakan Hang Tuah itu, kalau kita (orang Melayu) dok fikir kita tak hilang di dunia, kita tak payah berusaha pun. Akhirnya kita merosot dan menjadi hamba orang lain,” katanya. - Bernama

Syaitan Dipenjara Dibulan Ramadan.

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)





Selamat berpuasa dan selamat menyambut hari kemerdekaan ke 52.

Nik Aziz dan Politik Pecah Melayu

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)



Cendekiawan Islam selar Nik Aziz putar-belitkan isu

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diselar beberapa cendekiawan Islam kerana memutarbelitkan kenyataan beliau sendiri berhubung ketentuan syurga dan neraka penyokong UMNO.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussein berkata, tindakan Nik Abdul Aziz mempersoalkan ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam adalah salah dan berniat lari daripada isu pokok.

"Tindakan Nik Abdul Aziz mengatakan bukan hak mutlak Allah SWT menentukan syurga atau neraka seseorang itu apa? Siapa beliau? Jika Allah tiada hak mutlak, Nik Aziz ada?

"Saya nasihatkan beliau supaya jangan lari daripada isu pokok dan dia harus ingat, jawatankuasa tempoh hari dianggotai oleh lebih 10 cendekiawan agama yang tidak mempunyai kepentingan politik," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa prinsip Islam yang dibawa UMNO bukan prinsip sejati dan tidak boleh dibawa ke syurga.

Sehari selepas itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin menjelaskan, kenyataan Menteri Besar Kelantan berkenaan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana ketentuan balasan syurga atau neraka hanya dibuat oleh Allah SWT.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz membantah keputusan jawatankuasa itu dengan mengatakan sekiranya urusan syurga atau neraka merupakan hak mutlak Allah, maka manusia akan bebas melakukan kejahatan di dunia tanpa mengambil kira soal dosa dan pahala.

Mohd. Yusof menegaskan, Nik Abdul Aziz harus menjawab isu penyokong UMNO yang 'difatwakan' beliau sebagai tidak layak masuk syurga, bukannya mengeluarkan kenyataan baru di luar konteks perbincangan.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan, Nik Abdul Aziz tidak harus mengeksploitasi kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memperlihatkan kebenaran berada di pihaknya.

"Semua pihak perlu menilai kenyataan Nik Abdul Aziz sebagai kenyataan seorang ahli politik, bukan ahli agama.

"Kebijaksanaan beliau berpolitik dan menggunakan isu agama berupaya memperlihatkan kebenaran di pihaknya, namun beliau perlu berani berterus terang untuk menyatakan pendiriannya adalah pendirian politik," katanya.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad pula memberitahu, Nik Abdul Aziz tidak harus sewenang-wenangnya 'melompat' dari satu isu ke isu yang lain.

"Dalam hadis 40 Imam Nawawi, ada mengatakan bahawa seseorang kafir yang memeluk Islam sebelum akhir hayatnya diberikan balasan syurga walaupun tidak sempat bersembahyang, asalkan dia ikhlas.

"Jadi bukankah ketentuan syurga atau neraka itu hak mutlak Allah SWT? Bagaimana Nik Abdul Aziz boleh keluarkan kenyataan begitu, jangan ikut sedap otak sendiri," tegasnya.

Nakhaie yang juga bekas pemimpin tertinggi Pas pada akhir 80-an bagaimanapun mengakui isu ketentuan syurga dan neraka melibatkan satu perbincangan yang panjang.

Justeru katanya, semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan hanya berpandukan kepentingan sendiri.

Walaupun Kita Tinggi Ilmu Tapi Tidak Mengilirukan Orang Ramai.

Posted by perkasan on Jumaat, 21 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Nik Aziz pertikai Jawatankuasa Muzakarah

KOTA BHARU 20 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempertikaikan keputusan Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan berhubung kenyataannya mengenai penyokong UMNO tidak masuk syurga kerana ia dibuat tanpa mendapat penjelasan beliau terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan jawatankuasa tersebut sebagai tidak profesional dan keputusan itu telah dipengaruhi oleh pihak lain.

Pada masa sama, Menteri Besar Kelantan itu tetap berpegang dengan pendirian bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga disebabkan parti tersebut memisahkan agama dengan politik.

"Dia (Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan) dengar laporan daripada akhbar saja. Kenapa tidak tanya saya dulu, tak betul kerja dia tu, tidak profesional dan dipengaruhi oleh benda lain.

"Tak payah (jumpa jawatankuasa itu), dia nak penjelasan, dia beri surat kepada saya, kalau dia datang lebih baik. Saya bersedia bila-bila masa untuk memberikan penjelasan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin yang disiarkan media hari ini.

Jawatankuasa itu memutuskan kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa sesiapa yang menyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.

Nik Abdul Aziz berkata, beliau tidak akan berhenti untuk mengeluarkan kenyataan walaupun mendapat kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Selagi orang kacau saya, saya akan terang sampai dia puas hati. Dia nak terima atau tak, dia punya pasal. Kalau tak kena atau tak puas hati tanya saya, jangan tanya surat khabar.

"Apa yang orang nak kata pada saya katalah tetapi apa sudahnya, biarlah ada hujah, kalau betul saya terima. Kalau tak betul saya anggap mengumpat, saya tengok sebanyak mana jawapan surat khabar tidak ada hujah, saya nak tumpang ilmu pun tidak boleh," katanya.

Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa yang menentukan jalan syurga atau neraka ialah Allah.

"Yang menentukan jalan syurga dan neraka ialah Allah dan yang memberitahu kepada kita ialah nabi dan apabila nabi mati tugasnya disambung oleh alim ulama.

"Saya bukan menentu syurga dan neraka yang menentu ialah Allah. Saya cuma penyambung tugas Nabi Muhammad SAW," katanya.

Nik Aziz Terlalu Ego

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)



Nik Aziz perlu bertaubat

Oleh SAHBULAH DARWI
utusanjohor@utusan.com.my


Muhyiddin Yassin melakukan demonstrasi bagaimana terjadinya puting beliung menggunakan botol pada pelancaran Kampus ASTRO di Kompleks Sukan Pagoh, Muar, semalam.

MUAR 20 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diminta mengakui kesilapannya dan bertaubat ekoran mendakwa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam yang palsu.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, Islam menetapkan seseorang yang melakukan sesuatu kesalahan perlu meminta ampun daripada Allah SWT.

"Biasanya orang yang bersalah, dia kena bertaubat dari segi agama. Dia mesti bertaubat kerana melakukan kenyataan itu adalah satu kesalahan, dia kena minta maaf bukan dengan kita tetapi dengan Allah SWT kerana itu asas yang diguna pakai apabila fatwa telah diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas beramah mesra dengan penduduk dan menikmati jamuan tengah hari di Gerai Makan Bukit Kepong di Pagoh di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Abdul Shukor berkata, ia adalah selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam memasuki syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah.

Muhyiddin memberitahu, kenyataan Nik Abdul Aziz itu bukan sahaja bertentangan dengan keputusan majlis fatwa tersebut bahkan bercanggah dengan undang-undang syarak.

Beliau berkata, para pemimpin Pas termasuk Nik Abdul Aziz harus insaf berhubung perkara itu kerana ia bukan kali pertama mereka membangkitkan isu berkenaan.

"Jangan campur aduk antara tujuan politik dengan hukum dan agama, walaupun agama memang meliputi semua tetapi tak boleh buat sesuatu yang menjejaskan akidah umat Islam.

"Saya harap pemimpin Pas yang terlibat harus faham dan insaf perkara ini kerana ia bukan pertama kali tapi sudah berulang kali dilakukan," jelasnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, fatwa berkenaan perlu diterima oleh seluruh umat Islam kerana ia telah dibuat lama dahulu berdasarkan kajian majlis tersebut dan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja.

"Tak boleh dipertikaikan keputusan fatwa itu, tak boleh buat kenyataan sebagaimana yang dikeluar pimpinan Pas," jelasnya.

Ditanya tindakan Nik Abdul Aziz menyalahkan laporan media berhubung perkara itu, Muhyiddin berkata, pemimpin Pas itu memang selalu bercakap begitu.

"Hari ini cakap begitu, lepas itu salahkan media. Kecuali media tidak laporkan betul, tetapi berdasarkan laporan berkala yang saya baca, takkan lah semuanya salah," ujarnya.

Perkara itu berlaku katanya, bukan sahaja dalam soal fatwa tetapi juga isu perpaduan antara kedua-dua parti.

"Jadi bagi saya, dia sepatutnya siapkan kenyataan akhbar terlebih dahulu untuk memberi pandangannya, bila dah keluar daripada mulut, orang kata terlajak perahu boleh diundur terlajak kata berat padahnya," jelasnya.

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)



Isu masuk syurga: Transkrip kenyataan Nik Aziz

KUALA LUMPUR 20 Ogos – TV3 malam ini menyiarkan rakaman audio Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika sidang akhbar di Pulau Pinang pada 17 Ogos lalu.

Berikut ialah transkrip rakaman audio yang disiarkan oleh Buletin Utama:

‘‘Tiada sebab langsung orang Islam tolak Islam. Islam yang dibawa oleh UMNO ini Islam kacukan, Islam plastik. Macam duit palsu, ubat palsu, makanan palsu. Ini Islam palsu yang dibawa UMNO.

‘‘Islam ini tidak boleh bawa ke akhirat, tidak boleh bawa ke syurga, dia boleh bawa dekat pintu kubur. Bertengkar atas muka tak habis-habis dengan Melayu sendiri boleh bertengkar.’’


Inilah kenyataannya..kalau betul inilah percakapannya yang dirakam dan beliau telahpun mengaku yang pernah mengatakan penyokong UMNO tidak boleh masuk syurga. Inilah pendapat yang angkuh, sombong dan takbur yang tidak disukai ALLAh.

Ulasan Tentang Syurga Milik Siapa..

Posted by perkasan on Rabu, 19 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Masuk syurga tak kira parti – Harun Taib

KUALA TERENGGANU 18 Ogos – Ketika Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan penyokong UMNO tidak layak masuk syurga, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib (gambar) pula mempunyai pandangan berbeza berhubung perkara itu.

Harun yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu berpendirian, peluang masuk syurga adalah urusan dan keizinan Allah dan ia tidak semestinya bergantung kepada mana-mana parti yang disertai.

Jelasnya, setahu beliau, umat Islam yang sentiasa mengamalkan kebaikan, bertakwa selain ikhlas dalam mematuhi segala ajaran Islam, mereka akan masuk syurga dengan izin Allah.

“Sesiapa saja (umat Islam) yang mengamalkan ajaran Islam dan yakin dengan ajaran itu selain mengamalkannya dengan jujur, ikhlas, maka dengan izin Allah mereka akan masuk syurga.

Tun Mahathir sindir Nik Aziz
19/08/2009 2:16pm

Oleh Tarmizi Abd. Rahim

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis menyatakan kebanggaan dan kekagumannya terhadap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menjadi satu-satunya manusia yang boleh menentukan syurga atau neraka kepada manusia.

"Saya bangga dengan kebolehan Nik Aziz kerana boleh tentukan syurga atau neraka untuk sesiapa sahaja.

"Mungkin dia dah turun ke bawah, untuk melihat sendiri syurga dan neraka hingga boleh ceritakan siapa yang akan masuk.

"Setahu saya hanya mereka yang dah mati boleh tengok syurga atau neraka, itu pun tidak boleh balik ke dunia untuk ceritakan semula,’’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen International Medical University Malaysia (IMU) di sini hari ini. - Utusan


Ulama Sana-Sini

Posted by perkasan on Selasa, 18 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Nik Aziz nafi kata 'ahli Umno tidak masuk syurga'
Ogos 18, 09 5:44pm - Malaysia kini.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan berkata 'ahli Umno tidak masuk syurga' dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak media yang memutarbelit kenyataannya itu.

Berikutan itu, katanya, beliau akan berbincang dengan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang didakwanya telah menokok tambah kenyataannya itu.

Sebuah akhbar harian menyiarkan di muka depan kononnya Nik Aziz berkata, ahli Umno tidak akan masuk syurga.

Sebelum ini, akhbar yang sama telah memohon maaf kepada Nik Aziz di muka depannya kerana mentyiarkan kenyataan yang salah tentang Nik Aziz.

Harakahdaily melaporkan Nik Aziz berkata beliau biasanya mengunakan perkataan penyokong Umno, "saya tidak mengunakan ahli Umno. Penyokong lain, ahli lain.

"Saya tidak pernah menyentuh mengenai ahli-ahli Umno, tetapi saya menyentuh dasar yang dibawa oleh Umno," katanya dalam satu sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Nik Aziz berkata, memang mana-mana orang Islam yang mengasingkan Islam dan iman mustahil akan masuk syurga.

"Mana-mana gerakan orang Islam yang hanya mementingkan Islam sahaja tanpa iman, memang mustahil masuk syurga, itu yang saya sebut, tidak langsung maksudkan anggota parti Umno," tegasnya.

Nik Aziz turut menafikan beliau mendakwa parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

"Saya tidak sebut langsung tentang Palestin waktu tu, ni semua tak lain tak bukan untuk memburukkan saya dan membiarkan saya ni jadi balah (berkelahi) pula dengan Umno,"ujarnya.

Mengenai kenyataan Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakarian, yang mengulas kenyataannya melalui hanya membaca di akhbar, Nik Aziz berharap agar Harussani mendapat maklumat yang sebenarnya melalui beliau.

kupasan : Penyokong pada kebiasaannya menjadi ahli pada sesuatu pertubuhan atau kelab dan seterusnya menjadi penyokong. Ada sesuatu niat yang tidak baik semasa bercakap. Tuhan tahu,

Syurga Milik PAS...adakah Betul.

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)



Muhyiddin minta Majlis Fatwa ulas tuduhan Nik Aziz

18/08/2009 4:48pm

PUTRAJAYA 18 Ogos - Majlis Fatwa Kebangsaan dan ulama diminta mengeluarkan kenyataan berhubung tuduhan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya ajaran Islam yang dibawa oleh UMNO tidak boleh membawa seseorang Muslim masuk syurga.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah wajar jika ulama meneliti apa yang telah diungkapkan oleh Nik Aziz dan memberikan pandangan sama ada kenyataan Mursyidul Am Pas itu benar daripada segi Islam, atau jika bercanggah dan apakah pula hukumnya.

“Saya dah cakap akan keluarlah fatwa-fatwa baru (daripada pembangkang). Jadi, jangkaan saya betul kerana kita menghadapi pilihan raya kecil di Permatang Pasir.

“Walaupun saya faham agama, tetapi kenyataan saya berbaur politik. Dalam soal ini, saya tidak mahu guna politik. Ini soal hukum, soal akidah dan soal agama.

“Lebih baik para alim ulama dan Majlis Fatwa Kebangsaan buat keputusan sebenarnya. Kalau lebih cepat, lebih bagus,” katanya selepas melancarkan siri Buku Evolusi Kepimpinan karya Prof. Khairil Annas Jusoh di sini hari ini.

- BERNAMA

Inikah satu cara yang betul untuk perpaduan?

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)



Ahli Umno tak masuk syurga: Nik Aziz


BUKIT MERTAJAM: Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata anggota Umno tidak akan masuk syurga kerana parti itu mengamalkan ajaran Islam palsu dari Palestin.

Katanya terdapat perbezaan antara Islam yang didakwah oleh Pas dan Islam yang diamalkan oleh umat Islam daripada kalangan anggota Umno.

"Islam bawah Umno tidak ke mana dan tidak boleh bawa seseorang itu ke syurga. Berdasar perkara itu, saya percaya penduduk di kawasan Permatang Pasir akan memilih calon Pas sebagai wakil rakyat mereka," katanya kepada pemberita di Institut Kemahiran Belia Negara Bukit Mertajam di sini hari ini selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pengundian ialah pada 25 Ogos ini. Dipetik dari Harian Metro 17.8.09.
http://hmetro.com.my.

Pas In The Lost World

Posted by perkasan on Ahad, 16 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Nik Aziz liabiliti Pas?

Kenyataan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat bahawa DAP boleh menghina Islam, mengundang bantahan pelbagai pihak dari kalangan orang Islam.

Setelah dikritik hebat kerana menentang perbincangan idea kerajaan perpaduan dan menghina UMNO (“pergi jahanam dengan UMNO” dan “UMNO lebih buruk daripada komunis”), sekali lagi masyarakat Islam membidas Menteri Besar Kelantan itu.

Rumusan yang dibuat oleh kalangan orang Islam ialah Nik Aziz tidak lagi boleh menjadi sandaran dalam menjaga kesucian agama Islam serta perpaduan ummah.

Kenyataan beliau lebih menjurus menjaga kepentingan politik dan bukan kepentingan Islam. Sudah menjadi bahan sinikal termasuk di kalangan ahli Pas, Nik Aziz dikatakan rela mengutamakan kepentingan DAP daripada menjaga kepentingan Islam. DAP dulu, Islam kemudian.

Sebab itu, tiada pemimpin Pas tampil mempertahankan kenyataan beliau kerana sedar apa yang dinyatakan oleh Nik Aziz berhubung isu itu adalah salah. Awang turut menerima panggilan daripada seorang profesional yang menjadi aktivis Pas bahawa komen Nik Aziz dikhuatiri menjadi liabiliti kepada parti itu.

“Kami tidak mahu Tok Guru dilihat membawa malu kepada Islam sebagaimana yang dilakukan oleh Ayah Pin (pengamal ajaran sesat yang sedang diburu pihak berkuasa),” katanya lagi.

Lalu aktivis itu menyatakan kenyataan Nik Aziz tidak mencerminkan pemikiran seluruh pemimpin dan ahli parti itu. Katanya, Nik Aziz juga manusia biasa dan tidak terlepas daripada kesilapan. Dari satu segi Awang setuju. Tetapi persoalannya sudah terlalu banyak kesilapan yang beliau lakukan, yang dikhuatiri boleh membawa mudarat kepada umat Islam dan kesucian agama.

Adakalanya Awang pelik hujah Nik Aziz selalu berbelit-belit dan tidak konsisten, dulu haram sekarang tidak. Dulu kafir tetapi kini sahabat politik. Bukan Islam luar negara tidak boleh hina Islam, anehnya DAP boleh. Memang banyak kenyataannya yang meragukan termasuk boleh bekerjasama dengan syaitan dan memperlekehkan sesama orang Islam. Sesungguhnya umat Islam mengharapkan walaupun Tok Guru adalah orang politik tetapi dapat mempertahankan kepentingan Islam mengatasi pertimbangan politik. Itulah yang dibuktikan oleh Ahli Parlimen Kulim/Bandar Baru (PKR) Zulkifli Nordin, yang tidak gentar mendahulukan kepentingan Islam. Beberapa pemimpin Pas yang lain juga setidak-tidaknya berdiam dan tidak akan menyokong DAP jika menghina Islam.

Persoalannya sekarang Awang bimbang, lagi banyak Nik Aziz bersuara makin banyak kesilapan yang beliau lakukan, yang bukan sahaja merugikan umat Islam malah juga Pas. Mungkinkan beliau perlu berdiam untuk menyelamatkan imej Pas?

Awang Selamat

PAS dah mula menuju 1Malaysia

Posted by perkasan on , under | ulasan (0)



Ramai bukan Islam mahu jadi calon PAS
Ogos 15, 09 9:44pm


PAS merancang mengemukakan lebih ramai calon bukan Islam, khususnya anggota Kelab Penyokong PAS (KPP), dalam pilihanraya umum akan datang - perkembangan yang akan membuka dampak menarik di kalangan pengundi pelbagai kaum di negara ini.

Setiausaha agungnya Datuk Mustafa Ali dilaporkan berkata, dengan pendekatan baru ini, dipercayai ramai bukan Islam akan bertanding atas tiket parti itu.

Akhbar rasmi PAS Harakahdaily melaporkan, kira-kira 20,000 orang Cina dan India yang bukan Islam menjadi ahli KPP di seluruh negara dan parti itu juga sedang menyemak perlembagaannya untuk membolehkan mereka menjadi ahli PAS.

Berucap ketika di seminar membahas ucapan dasar presiden parti peringkat Pulau Pinang hari ini, Mustafa berkata pada pilihan raya umum lalu perkara ini tidak diputuskan lagi walaupun ada permintaan bertubi-tubi daripada bukan Islam.

"Pada pilihan raya umum akan datang PAS bercadang membenarkan ahli KPP yang diamanahkan bertanding menggunakan lambang bulan purnama. Walaupun ia masih dalam perancangan, namun saya yakin ia akan menjadi kenyataan," beliau dipetik berkata ketika membentangkan kertas kerja 'Islam Pemimpin Perubahan' di Butterworth.

Tahun lalu, seorang ahli KPP ingin bertanding atas tiket PAS di Johor tetapi gagal, sebaliknya setelah perundingan, anggota itu dibenarkan menggunakan lambang PKR.

Permintaan bukan Islam untuk menjadi calon PAS, kata Mustafa lagi, menunjukkan sokongan mereka terhadap parti itu ekoran rasa tidak percaya terhadap Umno dan BN.

Bekas pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS itu juga dilaporkan berkata, melihatkan senario sedemkian, parti itu amat memerlukan ahli yang kreatif bagi menjulang imejnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

"PAS amat memerlukan ahli yang kreatif kerana sikap itu dapat menjulang nama PAS pada masa depan," tegasnya di depan kira-kira 100 peserta.

Majlis itu dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Salleh Man, calon parti itu bagi pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir yang akan bermula Isnin ini.

Nampaknya PAS dah mula mahu merosakan dasar parti itu sendiri.

Jangan Biarkan ISLAM dihina.

Posted by perkasan on Khamis, 13 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



TPM hairan kenyataan Nik Aziz


MUHYIDDIN Yassin meletakkan balang berisi ikan semasa merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam sambil diperhatikan oleh Noh Omar dan Mohd. Ali Rustam.


MELAKA 13 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membiarkan segelintir pemimpin DAP menghina Islam.

Beliau berkata, sebagai seorang tokoh agama dan ketua kerajaan negeri, Nik Abdul Aziz sepatutnya mempertahankan Islam daripada dihina.

“Saya pun hairan dan takjub (berasa aneh), seorang tokoh agama (Islam) boleh menghalalkan orang lain menghina Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sikap Nik Abdul Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana beliau (Nik Aziz) berpendapat DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perbuatan menghina agama sama ada Islam atau bukan Islam tidak harus dilakukan kerana ia boleh merosakkan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Di Malaysia ini keadaan, negara yang stabil, aman kerana kita menghormati antara lain soal budaya dan agama, kita sudah lama buat, sudah hampir... tak lama lagi 52 tahun negara merdeka, satunya teras ialah menghormati agama, budaya, kaum yang ada dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya “fatwa” Nik Abdul Aziz itu boleh diguna pakai maka akan berlaku huru-hara dan akhirnya rosak Malaysia.

“Jadi saya percaya, kalau pun untuk raih sokongan, nak popular, soal Islam tidak boleh dikorban, soal maruah dan martabat agama mesti dipertahankan,” katanya.

Katanya, Pas bukan sebuah parti yang mempertahankan agama Islam walaupun pemimpin mereka melaungkan slogan membangun bersama Islam.

“Ini yang saya cukup bimbang pemimpin Melayu yang berkata juara pertahankan Islam tetapi dia tidak menunjukkan sikap yang bertanggungjawab, bahaya itu.

“Saya nak beri amaran kepada orang Melayu jangan dengar cakap pemimpin Pas yang cakap tidak serupa bikin, dia kata nak membangun bersama Islam tetapi dia buat hal-hal yang membawa kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.

Muhyiddin berkata, Nik Abdul Aziz yang dikatakan tokoh agama, sepatutnya memberi amaran atau menasihati kalangan pemimpin DAP terbabit supaya jangan menghina Islam.

Beliau yang bimbang dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu berkata, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan agama. – Bernama

Mengapa Ini Berlaku...

Posted by perkasan on Ahad, 9 Ogos 2009 , under | ulasan (0)



Penguat kuasa malu

KOTA BHARU: “Cuba bayangkan betapa malunya anggota penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sudah merampas barang pesalah apabila kemudian diarah memulangkannya.

“Jika ini cara dilakukan dalam pentadbiran, kita jangka masalah serta aduan orang ramai tidak akan mampu diselesaikan,” kata Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Penguasa-Penguasa Tempatan Semenanjung (Anulae), Azih Muda, pada sidang media di sini, semalam.

Kenyataannya itu berkaitan kontroversi tindakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, mengarahkan arak yang dirampas penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipulangkan kepada kedai 7-Eleven di Seksyen 8, 30 Julai lalu.

Azih berkata, pihaknya dukacita terhadap tindakan itu, terutama apabila timbul campur tangan daripada ahli politik dalam tugas PBT yang perlu menguatkuasakan undang-undang.

Katanya, tindakan Liu sangat tidak wajar apabila menggunakan kuasa yang ada untuk melindungi kepentingan pihak tertentu.

“Kita dukacita atas campur tangan beliau yang menyebabkan anggota penguat kuasa tersepit antara dua arahan. Sehari selepas dirampas, anggota terbabit diminta memulangkan semua 42 botol arak itu.

“Walaupun memegang portfolio kerajaan tempatan, dia tidak sewajarnya menggunakan kuasa itu untuk kepentingan pihak tertentu dengan mengarahkan PBT memulangkan barang rampasan.

“Ini masalah baru kita apabila ada ahli politik campur tangan dalam urusan PBT membanteras penjualan arak secara terbuka di kedai serbaneka. Kita harap ia tidak akan berlaku lagi,” katanya ketika ditemui sempena Seminar Pemantapan Kerjaya Anggota Pihak Berkuasa Tempatan, semalam.

Baru-baru ini, Pas Selangor mendesak kerajaan negeri menggugurkan Liu daripada jawatan berkenaan berikutan tindakannya yang dikatakan meresahkan masyarakat Islam.

Bagaimanapun, gesaan disuarakan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, ditolak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang menyatakan Liu bukan isu dalam masalah penjualan arak di negeri itu.

1 Malaysia Cetusan PM Ke 6

Posted by perkasan on Rabu, 5 Ogos 2009 , under | ulasan (1)



1 MALAYSIA

APRIL 17 — Datuk Seri Najib Razak telah pun menjelaskan bahawa konsep 1 Malaysia ciptaannya tidak sama dengan konsep “Malaysian Malaysia” yang dibawakan oleh DAP pada tahun 1960-an dahulu.

Bagi Perdana Menteri, 1 Malaysia bererti rakyat Malaysia berdiri, berfikir dan bertindak sebagai Bangsa Malaysia dengan “mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”.

“Ini bukan bererti kita mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.

“Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep 1 Malaysia.”

Demikian penjelasan pemimpin nombor satu negara dengan slogan “1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan” yang dikemukakannya pada hari pertama disahkan sebagai Perdana Menteri pada 3 April lalu.

Najib terpaksa membuat penjelasan itu bukan kerana kritikan Pakatan Rakyat atau mana-mana parti pembangkang lain. Beliau perlu menjelaskannya kerana ada kalangan Umno khususnya melalui sebuah akhbar milik parti itu sendiri yang telah menolak gagasan Perdana Menteri berhubung isu Bangsa Malaysia yang terkandung dalam slogan baru berkenaan.

Tak tahu di mana silapnya Najib kerana apa yang disebut dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri hanyalah: “Saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Kita akan sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat: 1 Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”.

Tiba-tiba ada pihak mentafsirkan kata-kata Najib sebagai usaha untuk meminggirkan orang Melayu. Ada pula yang bimbang slogan itu akan membawa kepada usaha merampas hak Melayu.

Adakah Najib melanggar Perlembagaan Persekutuan atau mana-mana undang-undang apabila beliau menyatakan: “Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelusok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.”

Soal sama ada beliau mempu mengotakan janjinya adalah perkara yang lain. Sebagaimana pemimpin negara yang lain yang baru dilantik, menyuarakan cogan kata baru adalah cara kepimpinan moden yang diterima semua.

Namun kebimbangan yang berteraskan perkauman masih belum reda dalam masyarakat Malaysia. Sehinggakan Najib sendiri terpaksa menafikan slogannya ada kena-mengena dengan “Malaysian Malaysia” yang diperjuangkan oleh DAP pada suatu masa dahulu. Ini adalah kerana masih ada kumpulan pejuang kaum yang tetap melihat DAP sebagai musuh Melayu.

Jika diteliti, DAP sendiri telah merobah sedikit sebanyak strategi politiknya tanpa mengorbankan prinsip hak dan peluang saksama untuk semua rakyat Malaysia. DAP sejak awal lagi telah menerima konsep muhibah.

Tiga tahun lalu, sempena ulang tahun DAP ke-40, parti itu telah meminda perlembagaannya untuk bersifat lebih terbuka dengan menukar prinsip sosialisme demokratik yang berteraskan usaha memiliknegarakan hak milik kepada demokrasi sosial yang lebih terbuka kepada sistem pasaran bebas tanpa mengorbankan hak dan peluang rakyat berpendapatan rendah serta miskin.

Yang tidak diubah ialah pendirian DAP dalam soal peluang saksama. Ini ditekankan dalam slogan baru DAP “Utamakan Malaysia”, satu pendekatan untuk mencapai matlamat perpaduan nasional dan kemakmuran ekonomi untuk semua.

Para pemimpinnya sedar bahawa perpaduan rakyat tidak akan dapat dicapai jika ia masih dipisahkan oleh politik dan amalan perkauman. Utamakan Malaysia bagi DAP adalah satu jati diri Bangsa Malaysia yang berasaskan prinsip keadilan, demokrasi, kebebasan, integriti dan harga diri.

Malah, bagi mengingatkan kumpulan politik yang gemar mempermainkan isu perkauman, DAP turut mengulangi pendiriannya sejak dahulu lagi dalam mengiktiraf dan menerima Perlembagaan Merdeka 1957 sebagai hasil kompromi semua kaum di negara ini.

Sememangnya menghairankan bagi kalangan untuk mempertikaikan slogan 1 Malaysia dengan mengutarakan kebimbangan kononnya Melayu akan kehilangan hak.

Bagaimana Melayu boleh hilang hak dan keistimewaan jika DAP sendiri — yang kini bersahabat dengan PAS dan Parti Keadilan Rakyat — menerima sepenuhnya Perlembagaan 1957 yang telah menjamin segala hak dan keistimewaan orang Melayu?

Jika isu yang dipertikaikan adalah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru kerana semangatnya sudah tersasar dari matlamat membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat; ia adalah kritikan yang bernas dan sahih. Apabila DEB dikritik, ia mempersoalkan isu amalan dan pelaksanaan, bukan kononnya mahu merampas keistimewaan yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Tidak perlu dipertikaikan lagi apa yang sudah dimaklum dan termaktub dalam undang-undang tertinggi negara. Bukan sahaja DAP, malah PAS, PKR atau mana-mana parti komponen BN pun tidak berminat untuk merobah apa yang telah diterima ramai.

Soal sama ada perubahan perlu dilakukan bukan ditentukan oleh segelintir pemimpin. Hanya apabila majoriti orang Melayu merasakan tongkat tidak lagi diperlukan, pada masa itu sahajalah pendekatan baru boleh dibincangkan.

Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat berjaya memerintah Malaysia sekali pun, rasanya kedudukan istimewa itu yang membabitkan soal keistimewaan, soal bahasa dan agama Islam tidak akan diubah melainkan majoriti besar orang Melayu sendiri mahu ia ditukar.

Yang sepatutnya dipantau ialah janji Najib sendiri, iaitu hasratnya untuk memastikan pelaksanaan dasar membantu Melayu dan Bumiputera diamalkan secara adil dengan memberi pertimbangan wajar kepada mereka yang layak.

Apakah ini sebenarnya yang amat ditakuti oleh kalangan tertentu kerana kerajaan Najib mungkin tidak lagi memberi kontrak dan projek hanya berdasarkan hubungan baik individu dengan pemimpin tertinggi walau pun tidak ada sebarang kelayakan dan kemampuan?

Atau pun, jika pada masa depan 1 Malaysia menjadi amalan semua pihak termasuk Pakatan Rakyat, ada orang bimbang politik perkauman mungkin tidak akan laku lagi pada masa itu?

Malah, selain Najib dan DAP, parti Gerakan juga pernah menonjolkan gagasan “Satu Hati. Satu Negara. Satu Wawasan”. Begitu juga PKR dengan slogan “Keadilan Untuk Semua”.

Semuanya indah belaka. Apa pun, yang diperhatikan dan diharapkan oleh rakyat Malaysia yang semakin kritis sekarang adalah pelaksanaan kata-kata. Pemimpin yang lalu telah gagal, apakah pemimpin hari ini mampu keluar dari sindrom janji kosong?

Laporan dari : malaysiainsider.com