selamat menonton
Latest News

Sambutan Kemerdekaan ke 52

Selasa, 1 September 2009 , Posted by perkasan at 8:14 PG

Semarak 1Malaysia

KUALA LUMPUR: Biarpun ringkas dan sederhana, impak sambutan ulang tahun ke-52 kemerdekaan negara peringkat nasional semalam, tidak kurang dan tetap bersemarak dengan semangat 1Malaysia apabila pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan keturunan bersama-sama meraikannya.

Bertemakan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan’, perayaan Hari Kemerdekaan kali ini mencipta sejarah tersendiri apabila buat julung kali sambutannya diadakan di Dataran Parlimen yang menjadi simbol demokrasi berparlimen di negara ini.

Dataran Parlimen yang sering menjadi lokasi acara menyambut pemimpin dari negara luar dalam upacara penuh adat istiadat semalam, diwarnai persembahan peserta berpakaian warna-warni serta anggota pasukan keselamatan yang segak dalam uniform masing-masing.

Perhimpunan perbarisan bermula sebaik keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah tepat jam 8 pagi.

Kira-kira 10 minit sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama isteri, Puan Sri Norainee Abd Rahman tiba di perkarangan Parlimen.

Ketibaan tetamu kehormat disambut lambaian dan sorakan kira-kira 10,000 kontinjen pelambai yang berbaris di sepanjang jalan kira-kira 1.38km, bermula dari Bulatan Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga ke perkarangan Dataran Parlimen.

Kontinjen pelambai terdiri daripada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) (210 orang), kementerian dan agensi awam (300), 28 kontinjen badan berkanun (300), kontinjen swasta (992), kontinjen pelatih institut perguruan seluruh Malaysia (3,500) dan kontinjen khalayak kelolaan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (5,000).

Sebaik tiba, Yang di-Pertuan Agong mengambil tabik hormat sebelum lagu Negaraku dimainkan Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja di bawah pimpinan Mejar Zailani Mohd Okhtat.

Pada masa sama, tujuh helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat lintas hormat dengan membawa Jalur Gemilang, bendera Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Darat, Tentera Udara Diraja Malysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sambil melepaskan asap berwarna merah, biru dan kuning yang melambangkan warna bendera Malaysia.

Seri Paduka kemudian memeriksa kawalan kehormatan empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Radzi Othman.

Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang serentak dengan nyanyian lagu Negaraku dan tembakan meriam 14 das sebelum bacaan ikrar Rukun Negara dilafazkan tujuh warga pendidik yang mewakili kaum utama di Malaysia diketuai Norazmi Baba.

Bacaan ikrar turut diiringi 52 peserta yang juga warga pendidik berpakaian pelbagai kaum sebagai simbolik kemerdekaan negara ke-52.

Turut sama melafazkan ikrar ialah 500 anggota kontinjen keselamatan pasukan Tentera Darat, TUDM, TLDM, PDRM dan APMM yang diketuai Leftenan Kolonel Hishamudin Jumat Abas Jumat.

Laungan ‘Merdeka’ tujuh kali, diikuti laungan ‘1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ kemudian bergema di seluruh kawasan, turut disambut orang ramai yang tidak melepaskan peluang mengikuti upacara gilang-gemilang itu di kawasan luar Parlimen.

Sambutan kali ini turut diserikan dengan nyanyian koir Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) yang mendendangkan lagu patriotik ‘Malaysia Tanah Airku’.

Sebagai persembahan penutup, nyanyian koir Suara Warisan (Koswa), TLDM, Lumut menyemarakkan Jalur Gemilang dan 1Malaysia bagi mengiringi persembahan 200 peserta persembahan rakyat menampilkan pelbagai gerak tari budaya. - Bernama

Sambutan yang berlangsung kira-kira 40 minit itu hanya memperlihatkan elemen penting seperti perbarisan dan persembahan rakyat tanpa perarakan besar-besaran dan pembabitan kontinjen kanak-kanak sekolah seperti tahun sebelum ini, berikutan kebimbangan penularan wabak influenza A(H1N1) dan bagi menghormati Ramadan. - Bernama

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan