selamat menonton
Latest News

Peristiwa 2009

Posted by perkasan on Isnin, 28 Disember 2009 , under | ulasan (0)



10 peristiwa penting 2009
Dis 28, 09 7:50pm
Kami membawa anda kembali mengimbau peristiwa penting yang berlaku sepanjang tahun 2009. Berikut adalah 10 laporan terpenting yang mendapat liputan Malaysiakini sepanjang tempoh tersebut.

Kisah putera dan model remaja

Cerita mengenai pekerja asing didera bukanlah perkara baru di Malaysia. Begitu jugalah dengan tahun ini. Tetapi kes ini telah

mencetuskan kemarahan di Jakarta, sebahagiannya kerana individu didakwa terbabit adalah dari kalangan istana.

Perkahwinan antara model remaja Indonesia - Manohara Odelia Pinot - dengan Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra berakhir dengan perpisahan apabila Manohara mendakwa dia telah menjadi mangsa dera, diculik serta dirogol.

Dengan bantuan ibunya, Manohara telah melarikan diri dari suaminya ketika menziarahi Sultan Kelantan yang sedang dirawat di Singapura.

Ekoran itu, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 31, telah memfailkan saman terhadap isternya dan ibu mertuanya itu - kedua-duanya kini berada di Jakarta - supaya memulangkan 'hutang' berjumlah RM1.1 juta. Beliau menang kes tersebut apabila Manohara dan ibunya gagal hadir di mahkamah.

Apa yang berlaku itu juga dipercayai ada kaitan dengan tindakan memecat Tengku Muhammad Fakhry dari Majlis Perajaan Kelantan September lalu. Bulan ini, Tengku Muhammad Fakhry memfailkan saman terhadap abangnya - pemangku sultan sekarang - kerana memecatnya dari majlis tersebut.

Penentangan terhadap PPSMI

Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) - dasar yang diwarisi daripada perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad enam tahun lalu terus menjadi duri dalam daging berterusan kepada kepimpinan negara.

Pada 7 Mac, dipimpin bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanraya, mengharungi tembakan bertalu-talu meriam air dan gas pemedih mata untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Buat pertama kalinya, golongan seniman dan budayawan pelbagai bangsa - yang dilihat berdiam diri terhadap dasar kerajaan selama ini - bangkit menuntut pemansuhan PPSMI.

Malah, kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup secara terbuka mengeluarkan kenyataan bersama berhubung perkara itu.

Malah penentangan terhadap PPSMI turut menyaksikan pengemblengan tenaga antara Gabungan Penulis Nasional (Gapena) dengan golongan pendidik Cina.

Akhirnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa tunduk kepada desakan yang berterusan itu.

Dan pada bulan Julai, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran, akhirnya mengumumkan pemansuhan PPSMI secara berperingkat-peringkat.

Mulai tahun 2012, kedua-dua subjek berkenaan di sekolah rendah akan kembali diajar dalam bahasa Malaysia bagi sekolah kebangsaan dan dalam bahasa Cina dan Tamil di sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Bagaimanapun, para penentangnya masih berpuas hati kerana menganggapnya bukan pemansuhan, sebaliknya satu penangguhan, dan masih meneruskan perjuangan mereka supaya PPSMI dimansuhkan serta merta.

Kematian dalam tahanan

Ada perkara yang tidak akan berubah. Kekerasan polis menduduk tempat ke-7 dalam siri 10 Berita Utama pada tahun 2003 dan 2004. Dan ia muncul lagi tahun ini.

Tahun 2009 menyaksikan satu lagi kes kematian tahanan polis - A Kugan, di mana laporan bedahsiasatnya mengunjurkan bahawa dia
dipukul ketika ditahan di sebuah balai polis Januari lalu.

Selepas kempen bersungguh-sungguh kumpulan hak asasi, seorang anggota polis akhirnya dihadapkan ke mahkamah 10 bulan kemudiannya atas tuduhan "menyebabkan kecederaan teruk" ketika cuba mendapatkan pengakuan mangsa.

Kematian Kugan telah menaikkan semangat kempen terhadap kes kematian dalam tahanan polis - seorang lagi mangsa ialah R Gunasegaran serta kes kematian pendatang tanpa izin di kem tahanan.

Kini tumpuan juga tertumpu kepada kes di mana enam orang ditembak mati oleh polis di Kulim Kedah pada Februari lalu, dan diikuti dengan satu lagi kes yang sama, membabitkan lima remaja di Klang, Selangor.

Ia menarik perhatian ramai kerana kakak salah seorang mangsa yang mati bertindak membunuh diri dengan meminum racun paraquat.

Bagaimanapun empat orang anaknya yang turut diberi minum racun tersebut, dapat diselamatkan.

Protes kepala lembu

Walaupun hanya seramai kira-kira 50 orang sahaja yang menyertai satu protes kecil, tetapi ia menjadi tajuk berita dan mendapat tumpuan amat meluas kerana ia turut menyentuh sensitiviti agama.

Pada 28 Ogos, satu kumpulan pendemontrasi mengarak satu kepala lembu dan meletakkannya di pintu pagar sekretariat kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat berhubung isu pemindahan sebuah kuil Hindu ke kawasan perumahan mereka di Shah Alam.

Lembu merupakan binatang suci bagi agama Hindu, dan ini telah menimbulkan bantahan sehingga mengundang campurtangan Menteri
Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Bagaimanapun, tindakan menteri berkenaan yang dilihat mempertahankan mereka yang mengadakan demonstrasi tersebut telah
menimbulkan rasa tidak senang dan Malaysiakini telah disalahkan kerana menyiarkan video mengenainya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah diarahkan menyiasat Malaysiakini di mana ramai wartawan portal
berita tersebut telah disoalsiasat berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, 12 peserta demontrasi berkenaan telah didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan dan tuduhan mengadakan perhimpunan haram.

Teoh: Dibunuh atau bunuh diri?

Pada 16 Julai, kematian seorang pemuda telah menghancurkan apa juga kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang belum sampai setahun lagi usianya.

Nama Teoh Beng Hock menjadi sebutan apabila dia ditemui mati di luar bangunan SPRM Selangor di Plaza Masalam. Dia dikatakan jatuh dari tingkat 14 bangunan tersebut yang menempatkan pejabat SPRM. Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, disoalsiasat sebagai saksi berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN sebelum dia ditemui mati.

Kematiannya telah mencetuskan bantahan umum sehingga perdana menteri kemudiannya bersetuju supaya diadakan inkues punca kematian Teoh serta menubuhkan sebuah jawatankuasa diraja untuk meneliti prosedur siasatan SPRM.

Dua bulan inkues berjalan, pakar patologi Thai, Dr Porntihip Rojanasunand membuat kejutan apabila mendakwa wujud kemungkinan 80 peratus kematian Teoh adalah homisid dan 20 peratus bunuh diri.

Pendedahan tersebut membawa kepada penggalian semula mayat Teoh dan bedahsiasat kedua dilakukan ketua jabatan forensik Hospital Sungai Buloh, Dr Shahidan Md Noor, dengan disaksikan oleh Dr Pornthip dan pakar forensik British, Prof Peter Vanezis yang dilantik oleh SPRM.

Bagaimanapun, keputusan bedahsiasat itu masih belum diumumkan dan inkues tersebut telah ditangguhkan sehingga tahun depan.

Tahun pilihanraya kecil

Sebanyak sembilan pilihanraya kecil diadakan selepas pilihanraya umum 2008 di mana keputusannya menunjukkan bahawa BN masih
gagal memulihkan sokongan rakyat terhadapnya. BN tewas dalam enam pilihanraya kecil, termasuk DUN Penanti yang tidak ditandinginya.

Seperti yang dijangkakan, BN berjaya mengekalkan dua kerusi DUN - Batang Ai (Sabah) dan Bagan Pinang (Negeri Sembilan), tetapi tewas kubu kuatnya - kerusi parlimen Kuala Terengganu - kepada PAS.

Kecuali prestasi menggalakkan BN dalam pilihanraya DUN Manek Urai, pembangkang berjaya menang dengan tambahan majoriti di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Permatang Pauh.

BN bagaimanapun memberi tentang hebat di Manek Urai apabila PAS mampu mempertahankan kerusi itu dengan majoriti tipis - daripada 1,352 (2008) kepada hanya 65 undi. Tetapi kegembiraan BN itu tidak lama kerana ia tewas lagi di DUN Permarang Pasir.

BN bagaimanapun memutuskan tidak bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Penanti, di mana calon PKR menang dengan majoriti lebih besar, selepas mengetepikan saingan daripada dua calon bebas.

Kerusi Parlimen: Kuala Terengganu (won by PAS), Bukit Gantang (PAS) and Permatang Pauh (PKR).

DUN: Bukit Selambau (PKR), Batang Ai (PRS), Penanti (PKR), Manek Urai (PAS), Permatang Pasir (PAS), and Bagan Pinang (Umno).

Ibu segala skandal

Mereka menggelarnya sebagai ibu segala skandal. Keseluruhan projek boleh menelan RM12.5 bilion wang pembayar cukai dan nasib beberapa ahli politik yang pernah memegang kuasa, kini "berada di hujung tanduk".

PKFZ bermula pada 1999 sebagai projek berharga RM1.96 bilion untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai sebuah hub pengangkutan laut serantau. Pada 2007, ekoran masalah dan penyelewengan yang berlaku, memaksa kerajaan menyuntik RM4.6 bilion untuk menyelamatkan projek tersebut.

Hanya selepas BN dilanda tsunami politik selepas pilihan raya umum 2008 dan diekori pelantikan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai menteri pengangkutan, maka satu siasatan dalaman dilakukan ke atas PKFZ.

Selepas memenangi pertandingan sengit bagi jawatan presiden MCA, Ong berusaha untuk memulihkan imej dan kredibilitinya dengan
menumpukan kepada siasatan PKFZ.

Pelbagai jawatankuasa ditubuhkan dan hasil siasatannya yang turut membabitkan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan, telah memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan perlu.

Siasatan kemudiannya dipindahkan dari kementerian pengangkutan kepada sebuah jawatankuasa tertinggi yang dianggotai beberapa
kementerian.

Akhirnya, dua tahun selepas skandal tersebut didedahkan, empat orang - tetapi bukan orang politik - telah diseret ke mahkamah.

Bagaimanapun, mereka dilihat sebagai "ikan kecil". Peguam negara berjanji lebih ramai akan diseret ke mahkamah selepas tahun baru.

Krisis MCA tiada penghujungnya

Sejarah 60 tahun MCA terus menerus diwarnai dengan perebutan kuasa. Dan krisis terbarunya tercetus ekoran pertembungan kumpulan penyokong Ong dengan puak pimpinan timbalannya, Datuk Seri Chua Soi Lek.

Walaupun Chua berjaya memenangi jawatan timbalan presiden MCA, tetapi skandal video seks berterusan menghantuinya.

Ong, dalam berdepan dengan lawannya, telah bertindak membuka semula siasatan terhadap scandal seks Chua dan memecatnya daripada parti. Walaupun hukuman tersebut kemudiannya dikurangkan kepada penggantungan keahliannya , tetapi ia gagal untuk menyekat penyokongnya mendesak supaya diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Tetapi para perwakilan parti telah membuat keputusan mengejut kerana bukan sahaja meluluskan undi tidak percaya terhadap Ong tetapi juga turut menolak usul untuk mengembalikan Chua ke jawatan timbalan presiden. Turut muncul ialah cakap-cakap bahawa wujud kuasa ketiga dalam krisis MCA itu.

Pendaftar pertubuhan kemudiannya membuat keputusan bahawa Chua masih merupakan timbalan presiden MCA. Ong dan Chua kemudian bersetuju menerima pelan damai yang mendapat restu perdana menteri.

Bagaimanapun ia masih gagal untuk menamatkan krisis MCA apabila Naib Presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan penyokongnya mahu EGM kedua diadakan bagi mendesak supaya pemilihan baru parti diadakan.

Ini memaksa Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan. Selepas beberapa pertemuan, Liow akhirnya bersetuju untuk membatalkan EGM dengan tanggapan bahawa puak-puak yang bertelagah akan mencapai kata sepakat bagi mengadakan pemilihan parti yang baru.

Bagaimanapun, Ong dan Chua tidak komited tentang pemilihan baru parti. Menurut perlembagaan parti itu, dua pertiga atau 21 daripada anggota jawatankuasa pusat (CC) MCA perlu meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan. Ekoran itu, Liow dan 12 anggota CC, menyerahkan surat peletakan jawatan mereka. Tetapi beliau mungkin tidak memperolehi jumlah yang mencukupi untuk tujuan tersebut. Dan dengan itu, kemelut MCA berterusan.

Najib berdepan tugas berat
'
Apabila Najib mengambil alih kuasa menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, ia telah meniupkan semangat baru, khususnya dalam Umno.

Namun, Najib menaiki hirarki parti itu ekoran penolakan secara terbuka kalangan pemimpin dan ahli Umno terhadap kepimpinan Abdullah.

Dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kini timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri, terbukti telah memainkan peranan besar dalam membuka ruang untuk Najib melangkah masuk ke Sri Perdana.

Bagaimanapun, imej Najib telah tercemar dengan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu dan tuduhan bahawa beliau adalah 'dalang' di sebalik rampasan kuasa di Perak.

Bagi berdepan dengan keraguan rakyat itu, pada permulaan pentadbirannya, Najib telah membebaskan 13 tahanan ISA, termasuk
pemimpin Hindraf. Beliau juga berjanji untuk mengkaji semula akta tersebut.

Beberapa bulan selepas mengambil alih teraju pemerintahan negara, termasuk memperkenalkan konsep 1Malaysia, Najib terpaksa berdepan pula dengan tugas berat menerajui negara berdepan dengan kemelesetan ekonomi serta menangani kehendak golongan minoriti dan pada masa yang sama memastikan sokongan berterusan orang Melayu.

Dengan tahun 2009 akan melabuhkan tirainya Khamis ini, Najib berdepan dengan satu lagi masalah - kes kehilangan dua enjin jet pejuang bernilai RM100 juta - yang lesap ketika beliau menerajui kementerian pertahanan.

Perak berwajah dua

Tanpa ragu-ragu lagi bahawa berita terbesar tahun ini ialah rampasan kuasa di Perak. Negeri itu menjadi gelanggang perang politik dekad ini selepas BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri itu daripada Pakatan Rakyat ekoran tindakan tiga ADUN Pakatan keluar parti dan menyokong BN.

Apa yang berlaku di Perak mempunyai implikasi besar di segi perundangan kerana keputusan mahkamah - sebahagian besarnya
menguntungkan BN - telah menulis semula amalan selama ini mengenai kuasa sultan, speaker DUN, Suruhanjaya Pilihan Raya dan menteri besar.

Ekoran itu, rakyat Perak kini berdepan dengan dua kerajaan negeri, dua speaker, dua menteri besar dan dua persidangan berasingan dalam dewan undangan negeri (DUN) yang sama.

BN enggan tunduk kepada desakan supaya diadakan pilihanraya negeri yang baru kerana mereka memegang kuasa di negeri itu, manakala saman Pakatan yang mencabar kesahihan kerajaan negeri BN akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.

Pada masa ini, semua pihak menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan itu mengenai siapakan menteri besar Perak yang sah. Tetapi apa juga keputusannya, ia merupakan sesuatu yang sementara - penentu sebenar ialah para pengundi di Perak dalam pilihanraya akan datang. Berita asal

Selamat Menyambut Maal Hijrah

Posted by perkasan on Jumaat, 18 Disember 2009 , under | ulasan (0)



Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM
Dis 17, 09 2:53pm
kemaskini 3.58pm Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya.

Sementara itu, majlis pelancaran TV al-Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1431H/2009M yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok, ditangguh.

Pegawai perhubungan awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Asiah AlKharib Shah berkata terdapat ralat berhubung maklumat tersebut yang dimaklumkan melalui kenyataan akhbar jabatan itu semalam.

"Pihak Jakim ingin memaklumkan bahawa majlis sambutan Maal Hijrah yang akan diadakan esok hanya akan melibatkan sambutan Maal Hijrah dan tiada pelancaran berhubung TV Al-Hijrah sebagaimana yang dimaklumkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jakim berhubung sambutan Maal Hijrah, memaklumkan saluran televisyen Islam pertama negara TV al-Hijrah akan turut dilancarkan pada majlis berkenaan. BERNAMA

Isu Ketuanan Melayu

Posted by perkasan on Ahad, 13 Disember 2009 , under | ulasan (0)



Nazri bidas pihak main isu ketuanan Melayu
Humayun Kabir
Dis 12, 09
7:38pm

Konsep 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mendukung ketuanan Melayu, yang bersifat feudal dan tidak selari dengan usaha menyatupadukan semua kaum sebagai rakyat Malaysia.

Itulah mesej jelas dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz kepada golongan ekstremis yang terus menerus memainkan isu ketuanan Melayu untuk kepentingan politik dan diri mereka sendiri.

Beliau menyatakan demikian ketika minta oleh Malaysiakini mengulas trend semasa di mana terdapat pertubuhan dan kumpulan yang memainkan isu ketuanan Melayu, sehingga menimbulkan rasa tidak senang, ketegangan dan kebimbangan di kalangan kaum lain.

Perdebatan mengenai isu tersebut menjadi semakin panas ekoran kenyataan ahli parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran baru-baru ini bahawa ketuanan Melayu bercanggah dengan usaha untuk menyatu padukan pelbagai kaum di bawah konsep 1Malaysia itu.

Ekoran itu, ada pihak yang membuat laporan polis terhadap Kulasegaran kerana didakwa mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu, dan malah ada yang menggesa supaya kerajaan membatalkan kerakyataannya.

Mengulas mengenai perkara itu, Nazri berkata, ia adalah hak peribadi mereka untuk membuat laporan polis tetapi ia boleh menghalang usaha menjayakan konsep 1Malaysia.