selamat menonton
Latest News

Jaga Perpaduan

Posted by perkasan on Selasa, 7 Disember 2010 , under | ulasan (0)




Jangan runtuhkan perpaduan

TUANKU MIZAN (kanan), Najib dan Muhyiddin mengaminkan doa pada majlis sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Putrajaya semalam.

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin semalam bertitah supaya rakyat Malaysia tidak meruntuhkan perpaduan yang dibina hanya kerana memenuhi tuntutan segelintir pihak yang ekstrem dan rakus meraih keuntungan untuk kelompok sendiri.

"Perancangan pembangunan negara pasti akan terbantut sekiranya perpaduan dan keharmonian rakyat tidak dipertahankan bersama," titah Seri Paduka pada sambutan Maal Hijrah 1432 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Seri Paduka bertitah, negara akan terdedah kepada kemunduran dan kehancuran sekiranya masyarakat saling mencurigai dan saling bertelagah.

"Adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi memastikan negara dalam keadaan aman dan berjaya untuk diwarisi oleh anak-anak kita nanti," titah Tuanku Mizan.

Seri Paduka bertitah, untuk mencapai perpaduan yang diidamkan bukanlah sesuatu yang mudah dan semua pihak harus memainkan peranan dan membuktikan keikhlasan bagi mencapai tujuan tersebut.

Melayu Yang Jahil

Posted by perkasan on Selasa, 30 November 2010 , under | ulasan (0)




Sultan Selangor dukacita

SULTAN SELANGOR (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pembentang kertas kerja, Prof. Emeritus Dr. Shad Saleem Faruqi di Shah Alam semalam.

SHAH ALAM – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah baginda sedih dan dukacita kerana ada segelintir individu yang berhijrah ke negeri itu, terutama orang Melayu, sanggup mempersoalkan peranan institusi Raja Melayu serta kedudukan dan hak keistimewaan bangsa Melayu.

Baginda bertitah, golongan itu turut mempersoalkan kerelevanan institusi Raja Melayu serta peranannya dalam sistem pemerintahan negara ketika ini.

“Matlamat mereka agar sistem Raja Berperlembagaan ini disemak dan dikaji semula atas alasan negara telah menjalani arus pemodenan dan sistem yang diamalkan sekarang ini sudah tidak bersesuaian adalah amat tidak bertepatan,” titah baginda pada majlis pembukaan Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan di sini semalam.

Sultan Sharafuddin bertitah, terdapat juga suara lantang di kalangan orang Melayu sendiri yang meminta perkataan ‘Melayu’ dihapuskan daripada ungkapan Raja-Raja Melayu.

Baginda percaya perbuatan itu dilakukan golongan berkenaan untuk kepentingan diri sendiri atau kepentingan politik mereka.

Amah Indon

Posted by perkasan on Ahad, 15 Ogos 2010 , under | ulasan (0)



Malaysia belum setuju gaji minimum amah RM600
KUALA SELANGOR - Kerajaan belum membuat keputusan berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah warga Indonesia sebanyak RM600 yang ditetapkan oleh kedutaan negara itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, penetapan gaji minimum itu tidak dilakukan dengan persetujuan kementeriannya atau Kementerian Dalam Negeri.

"Saya tidak tahu adakah pihak Kedutaan Indonesia menetapkan perkara itu mengikut pentadbiran sendiri, tetapi pada apa yang dipersetujui oleh kita sehingga kini, semua isu gaji pekerja asing diputuskan mengikut kuasa pasaran, iaitu berdasarkan permintaan dan pembekalan.

Biasiswa JPA

Posted by perkasan on Selasa, 6 Julai 2010 , under | ulasan (0)



Tajaan biasiswa JPA untuk pelajar cemerlang diteruskan
KUALA LUMPUR - Kerajaan masih meneruskan penajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara pada peringkat ijazah pertama.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penajaan biasiswa itu memberi fokus kepada bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, sains perubatan veterinar, kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial.

"Ini kerana tenaga sumber manusia dalam bidang tersebut amat diperlukan oleh perkhidmatan awam dan negara," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya dekat sini semalam.

Ini suatu perbandingan...

Posted by perkasan on Khamis, 22 April 2010 , under | ulasan (0)



Perlu RM1j untuk selesa selepas bersara
22/04/2010 5:15pm

KUCHING – Rakyat Malaysia memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk memastikan kehidupan yang selesa selepas bersara, kata Pengarah Kanan Hubungan Pelanggan ReMark Malaysia, Sasitharan Krishnan.

Berdasarkan kajian yang dijalankan di kalangan sebilangan besar pesara di negara ini, katanya, ramai yang tidak dapat mencapai jumlah simpanan yang sepatutnya dan ini menyebabkan mereka terpaksa mencari kerja walau pun selepas bersara.

Kegagalan membuat simpanan mencukupi, katanya, adalah disebabkan kerana mereka tidak merancang kewangan lebih awal dan tiada sikap disiplin dalam menabung.

Kajian itu, menurutnya, turut menunjukkan bahawa simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikumpul bertahun-tahun lamanya hanya mampu bertahan dalam tempoh tiga tahun sahaja.

"Keadaan ini amat membimbangkan. Dengan ini, saya menyarankan agar kerajaan menimbangkan semula cadangan usia persaraan 55 tahun kepada 65 tahun,” katanya ketika ditemui selepas Seminar Perancangan Kewangan yang diadakan di sini sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010.

Menurutnya, usia persaraan 55 tahun adalah terlalu awal untuk rakyat Malaysia memandangkan usia itu dianggap masih belum matang berbanding di Eropah dan Jepun yang mengamalkan pencen pada usia 65 tahun. – Bernama

Berani Buat Berani Tanggung.

Posted by perkasan on Ahad, 11 April 2010 , under | ulasan (0)



‘Kerabat raja’ ditahan

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my
KUANTAN 10 April – Seorang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan kerana menyamar sebagai kerabat diraja Pahang supaya dapat mengadakan lawatan ke semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di negeri ini.

Bagaimanapun, penyamarannya dengan menggunakan gelaran Tuan Muda terbongkar apabila salah seorang pelatih PLKN di Kem Cahaya Gemilang, Cherating di sini mengetahui identiti sebenarnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha berkata, pelajar berusia 18 tahun itu menyamar sebagai anak angkat Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan memakai gelaran Tuan Muda.

“Sebelum mengadakan lawatan ke mana-mana kem PLKN yang dihajatinya, pelajar ini akan menghantar surat yang mempunyai kepala surat tertera nama Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk memaklumkan kehadirannya.

Kemudahan utk semua.

Posted by perkasan on Khamis, 25 Mac 2010 , under | ulasan (0)



Pakej jalur lebar baru lebih murah – Najib

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

Najib Tun Razak diperhatikan, ( dari kiri) DR. Rais Yatim; Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli dan Halim Shafie mancuba papan luncur sebagai simbolik melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan dan Perkhidmatan Jalur Lebar Bekelajuan Tinggi di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN /AMIN FARIJ HASAN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Telekom Malaysia (TM) akan memperkenalkan pakej jalur lebar baru yang lebih murah untuk keperluan rakyat berpendapatan rendah di negara ini.

Perdana Menteri berkata, pakej baru itu yang akan turut disertakan dengan komputer netbook akan dikenakan yuran bulanan antara RM20 hingga RM38.

“Langkah ini salah satu daripada enam inisiatif yang diperkenalkan kerajaan bagi memudahkan rakyat kurang berkemampuan mendapat kemudahan jalur lebar,” katanya.

Beliau berucap melancarkan Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI) dan Perkhidmatan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) di Dataran Merdeka di sini malam ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; isterinya, Puan Sri Noorainee Abd. Rahman; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Pengerusi Kumpulan TM, Datuk Halim Shafie.

Pada majlis itu, Najib turut memperkenalkan UniFi iaitu jenama baru bagi perkhidmatan HSBB TM.

Najib juga mengadakan sidang video dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang berada di Kota Samarahan.

Pakej runcit HSBB merangkumi tiga perkhidmatan iaitu suara, video yang merangkumi televisyen protokol Internet (IPTV) dan video atas permintaan serta Internet berkelajuan tinggi.

HSBB menawarkan lebar jalur pada kelajuan akses rangkaian 10 megabit sesaat yang menyokong penawaran tiga perkhidmatan itu.

Dimeterai pada September 2008, HSBB kebangsaan bernilai RM11.3 bilion yang merupakan salah satu inisiatif utama NBI, merupakan perjanjian usaha sama awam-swasta antara TM dan kerajaan bagi membangunkan perkhidmatan dan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi generasi akan datang untuk negara.

Pada fasa pertama mulai esok, kawasan yang akan diliputi perkhidmatan HSBB TM ialah Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr. Ismail dan Bangsar. Ia akan diperluaskan ke 22 kawasan ibu sawat lain mulai Jun ini.

1 Malaysia

Posted by perkasan on Ahad, 14 Februari 2010 , under | ulasan (0)



1Malaysia bukan mainan politik

LONDON - Gagasan 1Malaysia bukan sekali-kali mainan politik kerana ia merupakan hasrat murni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan rakyat Malaysia terus bersatu, mempunyai sistem kenegaraan dan keadilan sosial.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata juga tidak ada politik dalam gagasan 1Malaysia kerana ia adalah untuk semua rakyat tanpa meminggirkan sesiapa pun.

“1Malaysia adalah gagasan supaya kita terus bersatu dan mempunyai sistem kenegaraan dan keadilan sosial untuk masa depan yang lebih baik yang dikongsi bersama,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin pelajar Malaysia di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, ia juga bukanlah satu perkara baru kerana hakikat perpaduan dan kesepakatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sudah lama wujud sebelum kemerdekaan, malah merupakan sumber kekuatan bagi mencapai kemerdekaan.

Rais, yang menyertai kerajaan pada tahun 1974 sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, berkata beliau merupakan saksi yang melihat dan menyelami sendiri setiap usaha kerajaan sejak dulu untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum sehingga Malaysia kini muncul sebagai negara yang penuh rahmat dan sejahtera.

Menjelaskan panjang lebar mengenai gagasan 1Malaysia, beliau melahirkan kekhuatiran jika generasi muda sekarang agak payah untuk menghayati gagasan 1Malaysia tanpa pemahaman sejarah negara terutama usaha bersama para pemimpin negara daripada pelbagai kaum.

“Pelbagai parti politik yang wujud di negara kita... itu adalah politik. Tetapi bersatu di bawah 1Malaysia merupakan satu tuntutan yang wajib direalisasikan bersama tanpa mengira aliran politik untuk diwariskan kepada generasi Malaysia masa depan,” katanya.

Beliau yang gembira dengan kehadiran pelajar berbilang kaum pada perjumpaan di Malaysia Hall itu, berkata kehadiran mereka yang penuh mesra antara satu sama lain dengan sendirinya membuktikan wujudnya perpaduan yang digagaskan dalam 1Malaysia.

Kini terdapat lebih 13,000 pelajar Malaysia di United Kingdom, yang menurut Rais, mampu memberikan sumbangan yang besar kepada pengisian gagasan 1Malaysia melalui bukan saja kegigihan mencapai kecemerlangan akademik tetapi juga perpaduan kaum di sini dan setelah pulang ke tanah air.

“Sekiranya anda membawa pulang ilmu pengetahuan dan melahirkan kegemilangan yang kita perlukan, maka anda telah menyumbang kepada 1Malaysia,” katanya. - Bernama

Keldai dadah.

Posted by perkasan on Rabu, 10 Februari 2010 , under | ulasan (0)



Bersalin di jel Australia
2010/02/11

KUALA LUMPUR: Salah seorang gadis Melayu yang sarat mengandung dan menjadi mangsa 'keldai dadah' oleh sindiket dadah antarabangsa akhirnya melahirkan bayi lelaki di dalam sel penjara baru-baru ini selepas dijatuhkan hukuman penjara oleh Mahkamah Tinggi Sydney, Australia terhadap jenayah dilakukan.
Difahamkan, suspek yang sudah melahirkan bayi dengan selamat itu bagaimanapun tidak dibenarkan menjaga bayi berkenaan yang kini diserahkan ke Jabatan Perkhidmatan Masyarakat negara berkenaan untuk dipelihara.

Agak mengejutkan apabila suspek sebelum ini ditahan pihak berkuasa Australia selepas didapati menelan 25 ketulan plastik dadah heroin di dalam perutnya tanpa langsung memikirkan keselamatan dan nyawa bayinya yang terancam sekiranya bungkusan kecil heroin terbabit pecah atau bocor di dalam perut.Difahamkan, suspek yang dikenali sebagai Nirmala, 26, ditahan oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Antarabangsa Sydney, Australia pada Jun tahun lalu selepas mengambil penerbangan terus dari Phuket, Thailand.Sumber polis berkata, suspek bagaimanapun ditahan pihak kastam negara berkenaan selepas imbasan X-Ray mendapati suspek cuba menyeludup dadah jenis heroin seberat 105 gram di dalam 25 bungkusan yang ditelannya.

Melalui maklumat dikumpulkan, suspek wanita terbabit mengaku bahawa dia bersetuju untuk membantu rakannya menyeludup dadah heroin berkenaan yang disangka pil penahan sakit."Rakan mangsa berjaya memperdaya mangsa kononnya pil terbabit diseludup masuk ke Australia bagi mengelakkan ia dikenakan bayaran cukai tinggi.

"Mangsa yang memikirkan amat memerlukan wang bagi membiayai caj perubatan dan kelahiran bayinya kelak termakan dengan pujukan serta imbuhan wang dijanjikan sindiket itu," katanya. Berdasarkan maklumat, mangsa yang ingin menaiki pesawat penerbangan di Phuket, Thailand, bagaimanapun mula berubah fikiran dan cuba membatal hasrat untuk menyeludup pil berkenaan.Sementara itu. Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pihaknya masih memandang serius dan mengawasi kegiatan pengedaran dadah oleh warga asing berkenaan walaupun statistik menunjukkan penurunan bilangan gadis yang diperdaya.

Menurutnya, usaha mengesan dan melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbabit akan diperhebatkan bagi memastikan tiada lagi wanita tempatan diperdaya dan dijadikan keldai dadah antarabangsa.

Alfatihah...Sultan johor Mangkat.

Posted by perkasan on Jumaat, 22 Januari 2010 , under | ulasan (0)




Almarhum Sultan Iskandar dimakamkan hari ini
Oleh NASRI JAMALUDIN dan AFIFI HAFIZ M. NOR
berita@kosmo.com.my
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 78, mangkat malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini pada pukul 5 petang kelmarin kerana gering.Baginda yang memerintah Johor selama hampir tiga puluh tahun mangkat pada pukul 7.15 malam.
Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang media di kediamannya di sini.Sebelum itu, pada sebelah petang, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dilantik sebagai Pemangku Raja berikutan kegeringan ayahandanya.Jenazah Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar di sini menaiki ambulans hospital pada pukul 11.20 malam.
Istiadat pemakaman akan diadakan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini pada pukul 2 petang ini.Sejam sebelum itu, majlis pertabalan sultan baru akan diadakan di Istana Besar sebelum jenazah baginda dimakamkan.

Tak Baik Doa Bala Untuk Orang Lain.

Posted by perkasan on Ahad, 17 Januari 2010 , under | ulasan (0)



Nik Aziz patut berdoa pemimpin rasuah terdedah

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Doa mohon dijauhkan amalan 'cah keting' oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi gambaran bahawa Menteri Besar Kelantan itu tidak bersedia menerima pendedahan yang dibuat individu tertentu berhubung kepincangan perjalanan kerajaan negeri mahupun Pas Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai pemimpin yang digambarkan telus, sepatutnya Nik Abdul Aziz berdoa supaya tembelang mana-mana pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa terus terdedah.

“Ini tidak, bila 'buka cerita' sahaja terus dicap sebagai 'cah keting' walaupun ia satu kebenaran.

“Janganlah kita lupa bahawa Allah itu Maha Berkuasa, lambat laun akan terdedah juga sesiapa yang menyeleweng,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' atau cantas-mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Walaupun tidak menjelaskan secara mendalam sejauhmana seriusnya perkara itu, beliau pada Jumaat lalu selepas kuliah mingguannya telah membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan 'cah keting.'

Sementara itu, Ibrahim berkata, jika benar budaya ‘cah keting’ dalam Pas telah menular, ia merupakan satu pembalasan yang bermakna buat parti itu.

Katanya, selama ini Pas kelihatan seronok setiap kali perkara sedemikian berlaku dalam UMNO sehingga alpa dan tidak menjadikannya sebagai pengajaran.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, doa tersebut menjadi petunjuk kerajaan Kelantan dan Pas di negeri itu mahupun di peringkat Pusat berada dalam keadaan bercelaru.

Katanya, ia juga mengesahkan berlakunya pergeseran antara tokoh tertentu dalam kerajaan negeri dan Pas walaupun ia cuba disembunyikan.

Beliau memberi contoh hubungan yang dikatakan tidak begitu baik antara Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dengan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman

“Begitu juga di peringkat Pusat, Nik Aziz kata lain, (Timbalan Mursyidul Am Pas) Datuk Dr. Haron Din kata lain, (Timbalan Presiden Pas), Nasharuddin Mat Isa pun kena marah dengan Nik Aziz.

“Ini menunjukkan kedudukan kerajaan negeri dan Pas itu sendiri daripada segi politiknya amat bercelaru,” katanya.

Pendirian Lemah...

Posted by perkasan on Jumaat, 15 Januari 2010 , under | ulasan (0)



Biar mahkamah selesai isu kalimah Allah: Dr Mashitah

KUALA LUMPUR – Isu Penggunaan kalimah Allah yang ditimbulkan oleh majalah :Herald – The Catholic Weekly: harus diselesaikan di mahkamah dan tidak perlu menjadi bahan polemik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, orang ramai harus sedar kes ini bermula di mahkamah.

“Kes ini bermula di mahkamah, jadi ia harus selesai di mahkamah. Kita harap dan minta semua pihak faham dan sedar tentang perkara ini,”

“Akar umbi isu ini adalah masalah penerbitan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil tindakan dan orang ramai diharap tidak emosi,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen ke- 7 Institut Profesional Baitulmal di Dewan Perdana Felda, di sini semalam.

Ditanya mengenai 12 resolusi muzakarah oleh 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dicapai kelmarin termasuk untuk meminta Majlis Raja-Raja menangani segera isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam, Mashitah berkata, ia merupakan inisiatif oleh NGO Islam bagi mendapatkan pendirian bersama mengenai isu itu.

“Apa yang mereka buat ini tidak salah, dan resolusi itu akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja diambil berat dan membantu mempercepatkan lagi supaya dapat diselesaikan cara harmoni dan baik,” katanya.

Mashitah berkata, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menganjurkan muzakarah pakar pada 21 Januari ini bagi mengupas serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Muzakarah secara tertutup itu adalah platform yang paling sesuai bagi mencari jalan penyelesaian secara aman berbanding forum terbuka,” katanya.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) melalui IPB telah menambah peruntukan daripada RM8.5 juta pada tahun 2008 kepada RM12 juta mulai tahun lepas.

Seramai 371 graduan diraikan yang terdiri daripada pemegang Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) seramai 270 orang, The London Chamber of Commerce and Industry 86 orang dan Certified Accounting Techni:cian 15 orang diraikan pada majlis konvokesyen itu.

1 Malaysia di PLKN

Posted by perkasan on Isnin, 11 Januari 2010 , under | ulasan (0)






Konsep 1Malaysia dalam PLKN dilancar Jumaat ini

TUARAN - Mulai tahun ini Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memberi penekanan kepada konsep 1Malaysia dalam setiap pengajaran dan latihannya bagi memastikan matlamat gagasan itu tercapai.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pelancaran konsep 1Malaysia dalam PLKN itu akan dibuat pada Jumaat ini oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Program PLKN pada asasnya memang ke arah 1Malaysia, tetapi tidak disebut sebagai konsep 1Malaysia. Dengan pelancaran ini nanti penekanan konsep 1Malaysia akan lebih dititikberatkan supaya dapat digarapkan dalam kalangan pelatih," katanya kepada pemberita semasa melawat Kem PLKN KK di Bawah Bayu, di sini.

Abdul Hadi berkata, subjek Intergrasi yang diperkenalkan dalam program tersebut sejak tahun 2008 akan diperkukuhkan agar pelatih lebih memahami dan menghormati serta menghargai perbezaan kaum dan kepercayaan yang dianuti masing-masing.

Seramai 120,000 pelatih dipilih untuk menyertai latihan PLKN tahun ini yang terbahagi kepada tiga sesi. Sesi pertama sedang berlangsung di 79 kem di seluruh negara.-Bernama

Hormati Agama Islam

Posted by perkasan on Sabtu, 2 Januari 2010 , under | ulasan (0)



Perkataan Allah: Mahathir bimbang kemarahan umat Islam
02/01/2010 4:57pm

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan kemarahan umat Islam jika penggunaan perkataan Allah oleh agama lain tidak dihalang.

Katanya, walau apa jua alasan yang diberi, kemarahan tetap tercetus di kalangan umat Islam terhadap pihak lain yang menggunakan kalimah Allah itu.

Bagi memastikan negara kekal aman katanya, setiap orang di negara ini perlu saling mengambil kira soal sensitiviti agama dan kaum.

Jelasnya, perkataan Allah adalah spesifik bagi umat Islam sahaja manakala perkataan tuhan atau god dalam bahasa Inggeris adalah untuk penganut agama lain.

"Saya khuatir kebenaran menggunakan perkataan Allah ini akan menimbulkan kemarahan orang Islam, sebenarnya terjemahan perkataan god dalam bahasa Inggeris adalah tuhan bukan Allah dan Allah spesifik bagi orang Islam sahaja.

"Jadi kalau mereka faham, mereka akan menggunakan perkataan tuhan bukannya Allah," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Wacana Perdana: Mahasiswa Melayu: Cabaran dan Masa Depan pada Konvensyen Mahasiswa Melayu (Konmam) 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) di sini hari ini. - Utusan