selamat menonton
Latest News

Alfatihah...Sultan johor Mangkat.

Posted by perkasan on Jumaat, 22 Januari 2010 , under | ulasan (0)




Almarhum Sultan Iskandar dimakamkan hari ini
Oleh NASRI JAMALUDIN dan AFIFI HAFIZ M. NOR
berita@kosmo.com.my
JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, 78, mangkat malam tadi selepas dimasukkan ke Hospital Pakar Puteri di sini pada pukul 5 petang kelmarin kerana gering.Baginda yang memerintah Johor selama hampir tiga puluh tahun mangkat pada pukul 7.15 malam.
Kemangkatan baginda diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pada sidang media di kediamannya di sini.Sebelum itu, pada sebelah petang, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail dilantik sebagai Pemangku Raja berikutan kegeringan ayahandanya.Jenazah Sultan Iskandar dibawa ke Istana Besar di sini menaiki ambulans hospital pada pukul 11.20 malam.
Istiadat pemakaman akan diadakan di Makam Diraja Mahmoodiah di sini pada pukul 2 petang ini.Sejam sebelum itu, majlis pertabalan sultan baru akan diadakan di Istana Besar sebelum jenazah baginda dimakamkan.

Tak Baik Doa Bala Untuk Orang Lain.

Posted by perkasan on Ahad, 17 Januari 2010 , under | ulasan (0)



Nik Aziz patut berdoa pemimpin rasuah terdedah

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Doa mohon dijauhkan amalan 'cah keting' oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi gambaran bahawa Menteri Besar Kelantan itu tidak bersedia menerima pendedahan yang dibuat individu tertentu berhubung kepincangan perjalanan kerajaan negeri mahupun Pas Kelantan.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata, sebagai pemimpin yang digambarkan telus, sepatutnya Nik Abdul Aziz berdoa supaya tembelang mana-mana pemimpin yang mengamalkan rasuah dan salah guna kuasa terus terdedah.

“Ini tidak, bila 'buka cerita' sahaja terus dicap sebagai 'cah keting' walaupun ia satu kebenaran.

“Janganlah kita lupa bahawa Allah itu Maha Berkuasa, lambat laun akan terdedah juga sesiapa yang menyeleweng,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan Nik Abdul Aziz secara terbuka mengakui wujud budaya 'cah keting' atau cantas-mencantas dalam Pas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti tersebut.

Walaupun tidak menjelaskan secara mendalam sejauhmana seriusnya perkara itu, beliau pada Jumaat lalu selepas kuliah mingguannya telah membaca doa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan parti itu daripada amalan 'cah keting.'

Sementara itu, Ibrahim berkata, jika benar budaya ‘cah keting’ dalam Pas telah menular, ia merupakan satu pembalasan yang bermakna buat parti itu.

Katanya, selama ini Pas kelihatan seronok setiap kali perkara sedemikian berlaku dalam UMNO sehingga alpa dan tidak menjadikannya sebagai pengajaran.

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Alwi Che Ahmad berkata, doa tersebut menjadi petunjuk kerajaan Kelantan dan Pas di negeri itu mahupun di peringkat Pusat berada dalam keadaan bercelaru.

Katanya, ia juga mengesahkan berlakunya pergeseran antara tokoh tertentu dalam kerajaan negeri dan Pas walaupun ia cuba disembunyikan.

Beliau memberi contoh hubungan yang dikatakan tidak begitu baik antara Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa dengan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman

“Begitu juga di peringkat Pusat, Nik Aziz kata lain, (Timbalan Mursyidul Am Pas) Datuk Dr. Haron Din kata lain, (Timbalan Presiden Pas), Nasharuddin Mat Isa pun kena marah dengan Nik Aziz.

“Ini menunjukkan kedudukan kerajaan negeri dan Pas itu sendiri daripada segi politiknya amat bercelaru,” katanya.

Pendirian Lemah...

Posted by perkasan on Jumaat, 15 Januari 2010 , under | ulasan (0)



Biar mahkamah selesai isu kalimah Allah: Dr Mashitah

KUALA LUMPUR – Isu Penggunaan kalimah Allah yang ditimbulkan oleh majalah :Herald – The Catholic Weekly: harus diselesaikan di mahkamah dan tidak perlu menjadi bahan polemik.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, orang ramai harus sedar kes ini bermula di mahkamah.

“Kes ini bermula di mahkamah, jadi ia harus selesai di mahkamah. Kita harap dan minta semua pihak faham dan sedar tentang perkara ini,”

“Akar umbi isu ini adalah masalah penerbitan. Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengambil tindakan dan orang ramai diharap tidak emosi,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan majlis Konvokesyen ke- 7 Institut Profesional Baitulmal di Dewan Perdana Felda, di sini semalam.

Ditanya mengenai 12 resolusi muzakarah oleh 70 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dicapai kelmarin termasuk untuk meminta Majlis Raja-Raja menangani segera isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam, Mashitah berkata, ia merupakan inisiatif oleh NGO Islam bagi mendapatkan pendirian bersama mengenai isu itu.

“Apa yang mereka buat ini tidak salah, dan resolusi itu akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja diambil berat dan membantu mempercepatkan lagi supaya dapat diselesaikan cara harmoni dan baik,” katanya.

Mashitah berkata, Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) akan menganjurkan muzakarah pakar pada 21 Januari ini bagi mengupas serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

“Muzakarah secara tertutup itu adalah platform yang paling sesuai bagi mencari jalan penyelesaian secara aman berbanding forum terbuka,” katanya.

Sementara itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) melalui IPB telah menambah peruntukan daripada RM8.5 juta pada tahun 2008 kepada RM12 juta mulai tahun lepas.

Seramai 371 graduan diraikan yang terdiri daripada pemegang Diploma Universiti Teknologi Mara (UiTM) seramai 270 orang, The London Chamber of Commerce and Industry 86 orang dan Certified Accounting Techni:cian 15 orang diraikan pada majlis konvokesyen itu.

1 Malaysia di PLKN

Posted by perkasan on Isnin, 11 Januari 2010 , under | ulasan (0)






Konsep 1Malaysia dalam PLKN dilancar Jumaat ini

TUARAN - Mulai tahun ini Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan memberi penekanan kepada konsep 1Malaysia dalam setiap pengajaran dan latihannya bagi memastikan matlamat gagasan itu tercapai.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, pelancaran konsep 1Malaysia dalam PLKN itu akan dibuat pada Jumaat ini oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Program PLKN pada asasnya memang ke arah 1Malaysia, tetapi tidak disebut sebagai konsep 1Malaysia. Dengan pelancaran ini nanti penekanan konsep 1Malaysia akan lebih dititikberatkan supaya dapat digarapkan dalam kalangan pelatih," katanya kepada pemberita semasa melawat Kem PLKN KK di Bawah Bayu, di sini.

Abdul Hadi berkata, subjek Intergrasi yang diperkenalkan dalam program tersebut sejak tahun 2008 akan diperkukuhkan agar pelatih lebih memahami dan menghormati serta menghargai perbezaan kaum dan kepercayaan yang dianuti masing-masing.

Seramai 120,000 pelatih dipilih untuk menyertai latihan PLKN tahun ini yang terbahagi kepada tiga sesi. Sesi pertama sedang berlangsung di 79 kem di seluruh negara.-Bernama

Hormati Agama Islam

Posted by perkasan on Sabtu, 2 Januari 2010 , under | ulasan (0)



Perkataan Allah: Mahathir bimbang kemarahan umat Islam
02/01/2010 4:57pm

KUALA TERENGGANU 2 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang dengan kemarahan umat Islam jika penggunaan perkataan Allah oleh agama lain tidak dihalang.

Katanya, walau apa jua alasan yang diberi, kemarahan tetap tercetus di kalangan umat Islam terhadap pihak lain yang menggunakan kalimah Allah itu.

Bagi memastikan negara kekal aman katanya, setiap orang di negara ini perlu saling mengambil kira soal sensitiviti agama dan kaum.

Jelasnya, perkataan Allah adalah spesifik bagi umat Islam sahaja manakala perkataan tuhan atau god dalam bahasa Inggeris adalah untuk penganut agama lain.

"Saya khuatir kebenaran menggunakan perkataan Allah ini akan menimbulkan kemarahan orang Islam, sebenarnya terjemahan perkataan god dalam bahasa Inggeris adalah tuhan bukan Allah dan Allah spesifik bagi orang Islam sahaja.

"Jadi kalau mereka faham, mereka akan menggunakan perkataan tuhan bukannya Allah," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Wacana Perdana: Mahasiswa Melayu: Cabaran dan Masa Depan pada Konvensyen Mahasiswa Melayu (Konmam) 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT ) di sini hari ini. - Utusan