selamat menonton
Latest News

Selamat Menyambut Maal Hijrah

Jumaat, 18 Disember 2009 , Posted by perkasan at 4:56 PTG

Ruh hijrah bertepatan idea 1Malaysia: PM
Dis 17, 09 2:53pm
kemaskini 3.58pm Datuk Seri Najib Razak berkata semangat hijrah yang diamalkan dalam Islam sangat bertepatan dengan konsep Gagasan 1Malaysia yang merupakan kesinambungan prakarsa ke arah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Perdana menteri berkata gagasan yang berteraskan kepada nilai murni yang berpaksikan prinsip keadilan sosial dan prinsip penerimaan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara demi kemakmuran bersama.

Dalam perutusan Maal Hijrah 1431, beliau berkata cabaran paling besar yang dihadapi sepanjang 52 tahun penubuhan Malaysia ialah membentuk perpaduan rakyat, tetapi ironinya ialah, perpaduan boleh dipupuk melebihi sempadan politik demi kepentingan negara.

"Kejayaan ini tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan semangat hijrah yang tinggi, kesetiaan dan ketabahan.

"Kita telah melaksanakan agenda penghijrahan dalam bidang ekonomi dengan melakukan penghijrahan ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian.

"Sekarang, kita melaksanakan pula hijrah ke bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi.

"Ini semua bagi menjayakan transformasi ekonomi ke arah memacu Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi secara holistik dan mapan, mengutamakan bidang inovasi dan kekal relevan dalam persaingan ekonomi global," katanya.

Najib berkata masyarakat negara ini harus berhijrah untuk sentiasa berprestasi lebih baik tanpa mengira peranan sama ada mereka pemimpin, kerajaan ataupun rakyat.

"Kita perlu mengurus kejayaan dan membina kekuatan ummah dengan membajai dan menyuburkan kerukunan yang telah dipupuk selama ini.

"Ingatlah lipatan sejarah yang sarat dengan catatan kejayaan demi kejayaan yang telah dicapai, sehingga Malaysia kini muncul antara negara membangun paling maju, dinamik dan progresif," katanya.

Perdana menteri berkata, formula yang mendasari kejayaan ini adalah faktor perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada konsep 'wasatiyah' (kesederhanaan) dengan menerima kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan.

"Natijahnya, walau apa pun definisi hijrah menurut perspektif kita, yang penting kita tidak boleh berkovensi dengan kejayaan lampau tanpa berusaha mencipta kejayaan dan merintis inovasi baru," katanya.

Menurut Najib, semua kejayaan itu boleh digapai melalui penghijrahan nilai tambah kepada lebih berinovasi tinggi dan daripada perpaduan sesama kepada perpaduan Satu Ummah.

Perdana menteri bekata bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini iaitu 'Memantap Ukhuwah, Memperkasa Ummah', sebuah negara yang maju dan progresif memerlukan ummah yang mempunyai potensi dan sahsiah diri yang utuh dan mapan.

"Khaira ummah dicerna melalui satu ukhuwah yang didasari oleh nilai ketamadunan dan peradaban yang tinggi.

"Keperluan mengamalkan konsep wasatiyah perlu dilaksanakan dalam usaha membangun pembangunan spiritual dan fizikal secara seimbang bagi mempertingkatkan nilai kualiti kekitaan, kepunyaan dan kebersamaan dalam memastikan objektif perpaduan Satu Ummah dapat dicapai dengan lebih berkesan," katanya.

Najib berkata konsep persaudaraan dan perpaduan yang diutuhi oleh Rasulullah pada permulaan hijrah adalah secara holistik tanpa mengira warna kulit, keturunan atau kedudukan.

"Masyarakat di Madinah waktu itu terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh aman dan harmoni, berasaskan Perlembagaan Madinah yang mengutamakan perpaduan dan mempertahankan Islam sebagai agama, keadilan sosial kepada semua dan melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada kaum bukan beragama Islam di bawah pemerintahan Negara Madinah," katanya.

Sementara itu, majlis pelancaran TV al-Hijrah sempena sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan 1431H/2009M yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) esok, ditangguh.

Pegawai perhubungan awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Asiah AlKharib Shah berkata terdapat ralat berhubung maklumat tersebut yang dimaklumkan melalui kenyataan akhbar jabatan itu semalam.

"Pihak Jakim ingin memaklumkan bahawa majlis sambutan Maal Hijrah yang akan diadakan esok hanya akan melibatkan sambutan Maal Hijrah dan tiada pelancaran berhubung TV Al-Hijrah sebagaimana yang dimaklumkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jakim berhubung sambutan Maal Hijrah, memaklumkan saluran televisyen Islam pertama negara TV al-Hijrah akan turut dilancarkan pada majlis berkenaan. BERNAMA

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan