selamat menonton
Latest News

1 Malaysia

Ahad, 14 Februari 2010 , Posted by perkasan at 10:57 PTG

1Malaysia bukan mainan politik

LONDON - Gagasan 1Malaysia bukan sekali-kali mainan politik kerana ia merupakan hasrat murni Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memastikan rakyat Malaysia terus bersatu, mempunyai sistem kenegaraan dan keadilan sosial.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata juga tidak ada politik dalam gagasan 1Malaysia kerana ia adalah untuk semua rakyat tanpa meminggirkan sesiapa pun.

“1Malaysia adalah gagasan supaya kita terus bersatu dan mempunyai sistem kenegaraan dan keadilan sosial untuk masa depan yang lebih baik yang dikongsi bersama,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin pelajar Malaysia di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, ia juga bukanlah satu perkara baru kerana hakikat perpaduan dan kesepakatan rakyat Malaysia yang berbilang kaum sudah lama wujud sebelum kemerdekaan, malah merupakan sumber kekuatan bagi mencapai kemerdekaan.

Rais, yang menyertai kerajaan pada tahun 1974 sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, berkata beliau merupakan saksi yang melihat dan menyelami sendiri setiap usaha kerajaan sejak dulu untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum sehingga Malaysia kini muncul sebagai negara yang penuh rahmat dan sejahtera.

Menjelaskan panjang lebar mengenai gagasan 1Malaysia, beliau melahirkan kekhuatiran jika generasi muda sekarang agak payah untuk menghayati gagasan 1Malaysia tanpa pemahaman sejarah negara terutama usaha bersama para pemimpin negara daripada pelbagai kaum.

“Pelbagai parti politik yang wujud di negara kita... itu adalah politik. Tetapi bersatu di bawah 1Malaysia merupakan satu tuntutan yang wajib direalisasikan bersama tanpa mengira aliran politik untuk diwariskan kepada generasi Malaysia masa depan,” katanya.

Beliau yang gembira dengan kehadiran pelajar berbilang kaum pada perjumpaan di Malaysia Hall itu, berkata kehadiran mereka yang penuh mesra antara satu sama lain dengan sendirinya membuktikan wujudnya perpaduan yang digagaskan dalam 1Malaysia.

Kini terdapat lebih 13,000 pelajar Malaysia di United Kingdom, yang menurut Rais, mampu memberikan sumbangan yang besar kepada pengisian gagasan 1Malaysia melalui bukan saja kegigihan mencapai kecemerlangan akademik tetapi juga perpaduan kaum di sini dan setelah pulang ke tanah air.

“Sekiranya anda membawa pulang ilmu pengetahuan dan melahirkan kegemilangan yang kita perlukan, maka anda telah menyumbang kepada 1Malaysia,” katanya. - Bernama

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan