selamat menonton
Latest News

Raya 1 Malaysia

Ahad, 20 September 2009 , Posted by perkasan at 8:48 PTG

1Malaysia terserlah pada rumah terbuka PM dan kabinet


PUTRAJAYA 20 Sept — Daripada menu hinggalah pengunjung pelbagai kaum, semangat 1Malaysia terserlah di kalangan rakyat Malaysia dan pelancong asing pada majlis rumah terbuka anjuran Datuk Seri Najib Tun Razak buat pertama kalinya sebagai perdana menteri. Ribuan orang berpusu-pusu ke Sri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya, untuk mengunjungi rumah terbuka itu yang bermula 11 pagi.

Najib, yang lengkap berpakaian baju Melayu merah jambu dan isteri beliau Datin Rosmah Mansor serta para menteri Kabinet beramah-mesra dengan para tetamu dan pengunjung. Para duta dan diplomat asing serta tokoh korporat termasuk adik Najib, Datuk Seri Nazir yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, turut hadir memeriahkan majlis rumah terbuka itu. Pengunjung yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dijamu dengan pelbagai juadah termasuk makanan kegemaran ramai seperti satay selain ketupat, lemang, thosai dengan kari dhal dan kuetiau goreng.

Majlis itu turut dimeriahkan dengan konsert artis tempatan. Terdahulu, Perdana Menteri dan Rosmah menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara. Selepas solat, Najib, Rosmah dan anak perempuan mereka turut menziarahi makam ayahanda beliau di Makam Pahlawan yang terletak dalam kawasan Masjid Negara.

Bercakap kepada pemberita, Perdana Menteri melahirkan kegembiraannya melihat ramai yang datang mengunjungi rumah terbuka itu walaupun diadakan di Putrajaya, dan hadirin terdiri daripada kelompok masyarakat yang berbeza agama, kaum dan latar belakang. “Saya mengadakan rumah terbuka kali ini di Sri Perdana kerana ia adalah rumah rakyat, dan pada hari ini bagi yang berkunjung ke sini dapat berkenalan dengan ahli kabinet lain, selain dapat bersalaman dengan saya,” katanya. Najib menyifatkan rumah terbuka sebagai tradisi ulung bagi mengeratkan perpaduan dan mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat jelata. “Konsep rumah terbuka adalah intipati konsep 1Malaysia, dan apabila mengadakan majlis rumah terbuka, minda kita terbuka dan menjadi lebih luas, dan secara ikhlas hati kita terbuka untuk menjemput sesiapa yang mengunjungi kediaman kita, tidak kira bangsa dan agama”, kata beliau. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hadir di Sri Perdana berkata rumah terbuka adalah satu tradisi mulia yang harus dipraktikkan oleh masyarakat Malaysia kerana ia adalah satu amalan yang dapat menyatupadukan rakyat berbilang kaum.

— BERNAMA

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan