selamat menonton
Latest News

Perpaduan Membawa Kekuatan.

Selasa, 22 September 2009 , Posted by perkasan at 5:15 PG

Sambut Aidilfitri pun berbalah

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

WALAUPUN hampir keseluruhan umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidilfitri kelmarin tetapi ada juga segelintir yang menyambut kedatangan 1 Syawal pada Sabtu lalu. Setakat ini kita hanya mengetahui bahawa sambutan Aidilfitri sehari lebih awal itu dilakukan oleh tiga kelompok di Indonesia iaitu Jemaah An-Nazir di Gowa, Sulawesi Selatan; Jemaah Al Muhthor di Tulungagung, Jawa Timur dan Tarekat Naqsabandiyah di Padang, Sumatera Barat.

Ketiga-tiga jemaah berkenaan memberikan alasan tersendiri kenapa mereka menyambut Aidilfitri lebih awal. Pemimpin jemaah An-Nasir, Lukman A Bakti berkata, mereka bukan sebarangan berbuat demikian. "Kami melihat berdasarkan tanda-tanda alam dan penelitian mendasar yang dilakukan oleh anggota jemaah An-Nadzir. Itulah hujah jemaah itu yang mendakwa mempunyai 10,000 ahli di seluruh Indonesia, Malaysia dan Singapura. Menurut Lukman, penentuan awal Syawal diketahui dengan tiga kaedah iaitu hisab, perhitungan matematik astronomi, rukyah yakni melihat keberadaan bulan dengan mata serta mengukur titik surut air laut di pantai.

Di Tulungagung, Jawa Timur pula, berpuluh-puluh jemaah Al Muhthor pimpinan Habib Ahmad Bin Salim Al Muhdlor menyambut Aidilfitri pada 19 September iaitu tarikh melihat anak bulan di Malaysia. Mereka yakin, hari Sabtu sudah memasuki 1 Syawal, sesuai dengan hisab yang mereka lakukan. Apa yang anehnya, salah seorang jemaah memberitahu media Indonesia bahawa sambutan itu berlandaskan kepada ajaran pemimpin utama mereka iaitu Habib Ahmad yang sewaktu beliau masih hidup mengutamakan perayaan Aidilfitri berbanding perkara lain. Ternyata mereka tidak tahu apakah penentuan dilakukan secara hisab, rukyah atau sebagainya, apa yang mereka tahu ialah meneruskan ajaran Habib Ahmad yang sudah pun meninggal dunia.

Di Indonesia, suatu ketika pernah berlaku salah satu pertubuhan Islam terbesar di negara itu, Muhammadiyah menyambut Aidilfitri lebih awal, tetapi tahun ini pertubuhan berkenaan mengikut umat Islam yang lain berhari raya pada Ahad. Mungkin bagi sesetengah daripada kita, apa yang dilakukan oleh ketiga-tiga kumpulan tersebut adalah perkara biasa kerana ia kerap berlaku setiap kali menyambut awal Ramadan mahupun Aidilfitri. Tetapi apakah pula kesannya kepada umat Islam secara keseluruhannya? Adalah jelas tindakan kumpulan-kumpulan itu yang dilihat lari dari mengikuti kumpulan majoriti umat Islam hanya akan memberikan persepsi yang buruk kepada Islam itu sendiri?

Pihak-pihak tertentu terutamanya bukan Islam yang mahu mencari kelemahan umat Islam, mungkin akan menjadikan apa yang berlaku itu sebagai isyarat sememangnya umat Islam tidak boleh bersatu. Mereka akan berhujah, kalau untuk menyambut Hari Raya pun kita sudah berbezabeza pendapat, bagaimana dengan soal-soal utama lain? Berdasarkan apa yang dilakukan oleh tiga kumpulan berkenaan, hujah oleh pihak tersebut memang ada kebenarannya. Hakikatnya, kita tidak mempedulikan apa juga hujah yang hendak dikeluarkan oleh puak umat Islam yang menyambut Aidilfitri berkenaan, tetapi dalam masa yang sama mereka harus memikirkan kesannya kepada umat Islam secara keseluruhan.

Selama ini sudah cukup kita menyaksikan di sesetengah negara terutamanya di Iraq, umat Islam yang melafazkan syahadah yang sama tetapi berbeza mazhab sering berbunuhan sesama sendiri. Masing-masing pengikut mazhab sama ada Syiah mahupun Sunah Wal Jamah sering menuding jaring menyalahkan antara satu sama lain. Apa yang dikesalkan mereka melakukan serangan bom yang kesudahannya hanya membunuh sesama Islam. Akibat daripada perbezaan inilah ia telah memudahkan kelompok tertentu mengambil kesempatan dan akhirnya, biarpun Iraq kini dilihat sudah mentadbir sendiri tetapi hakikatnya masih dijajah. Semua itu berlaku kerana umat Islam tidak bersatu. Ada di kalangan kita sanggup menjadi tali barut kepada musuh Islam untuk membunuh saudara Islam.

Persoalannya, apakah mereka yang menyambut Aidilfitri ini tidak memikirkan bahawa perbuatan mereka boleh mewujudkan tafsiran bahawa umat Islam sememangnya suka berpecah belah. Perpecahan yang berlaku sama ada daripada segi tarekat, mazhab mahupun politik boleh menyebabkan umat Islam menjadi lemah. Inilah perkara yang sememangnya diketahui oleh umat Islam tetapi mereka sengaja melupakan kerana masing-masing hendak menegakkan apa yang 'diperjuangkan'.

Allah SWT telah memberikan peringatan yang jelas dan tegas dalam al-Quran berhubung perpaduan umat Islam apabila berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud: "Berpegang teguhlah kamu semua dengan tali Allah dan janganlah bercerai-berai. Peringatan itu diberikan kerana Allah juga telah mengingatkan dalam firman-Nya dalam surah Al-Mu'minun ayat 52 bahawa: "Sesungguhnya umatku ini adalah umat yang satu.''

Kedua-dua firman Allah itu jelas menunjukkan bahawa dalam apa pun keadaan umat Islam itu perlu bersatu dan bukannya berpecah-belah. Malah kita tidak harus melakukan perkara yang boleh dilihat hanya mewujudkan perpecahan sesama kita. Oleh itu adalah sesuatu yang mendukacitakan apabila dalam menyambut 1 Syawal pun kita mempunyai perbezaan. Sepatutnya sempena hari yang mulia itu kita bersatu padu dan bermaaf-maafan. Tidak mengapa jika berbeza tarekat, mazhab atau fahaman politik tetapi jangan sampai ia melemahkan umat Islam. Semoga kumpulan-kumpulan agama Islam yang dilihat 'lari' dari kelompok majoriti umat Islam akan menyedari kesilapan yang mereka lakukan dan akan kembali bertaut dalam perpaduan Islamiah.

PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan