selamat menonton
Latest News

Konsep 1 Malaysia

Isnin, 5 Oktober 2009 , Posted by perkasan at 8:56 PG

Empat generasi Tok Mok Yoh

Oleh FATIMI NADIAH ZAINUDEEN
fatiminadiah.zainudeen@kosmo.com.my

Perhimpunan empat generasi Allahyarham Tok Mok Yoh di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan, berjaya mengumpul 520 daripada 600 orang ahli keturunannya.


TIADA yang lebih menggembirakan selain dapat berkumpul bersama keluarga ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri. Lebih-lebih lagi tatkala menyarungkan baju baru yang cantik dan menghidangkan lauk-pauk yang jarang ditemui pada hari-hari biasa.

Namun, jika perhimpunan itu melibatkan sehingga 520 ahli keluarga, pastinya ia sesuatu yang jauh lebih istimewa.

Pada 3 Syawal lalu, ahli keluarga Allahyarham Tok Mok Yoh atau Sapiah Abdullah, yang terdiri daripada empat generasi telah mengambil kesempatan pulang ke kampung dan berkumpul beramai-ramai di Bukit Panau, Tanah Merah, Kelantan.

Bertempat di depan stesen kereta api Bukit Panau, lokasi berkumpul itu merupakan kediaman anak sulung Tok Mok Yoh iaitu Salleh Ismail.

Sembelih lembu

Acara yang dimulakan seawal pukul 7 pagi itu dimulakan dengan acara menyembelih lembu dalam kalangan ahli keluarga lelaki dan memasak daging lembu itu dalam kalangan kaum keluarga wanita.

Susulan daripada itu, mereka turut mengunjungi kubur kaum keluarga yang kebanyakannya disemadikan di tanah perkuburan berdekatan.

"Mak Da terharu, gembira sangat kerana dapat jumpa semua ahli keluarga tahun ini. Dalam ramai-ramai ini semuanya keluarga, tak ada orang lain," ujar Cik Limah Deraman, 71, salah seorang daripada empat orang terakhir generasi tertua keturunan Tok Mok Yoh. Ahli keluarga termuda berusia enam bulan.

Ibu kepada tujuh orang anak itu juga berkata, keturunan Tok Mok Yoh bermula daripada enam adik-beradik yang berpindah dari Salor, Pasir Mas ke Bukit Panau. Sehingga hari ini keluarga besar itu dapat ditemui di kedua-dua daerah tersebut.

MAK DA (dua dari kanan) salah seorang daripada empat generasi terakhir dan tertua cukup gembira dengan perhimpunan ahli keluarganya Allahyarham Tok Mok Yoh .

Acara yang julung-julung kalinya diadakan itu kata cucu Tok Mok Yoh, Ruzelan Romli, 48, dirancang sejak Aidiladha tahun lalu.

"Kami berpendapat, sekiranya kami tidak melakukannya pada tahun ini tiada siapa yang akan melakukannya dan akhirnya ikatan kekeluargaan akan dilupakan begitu saja.

"Melalui perhimpunan ini, yang tidak pernah berjumpa pun dapat berjumpa. Ada yang tinggal di Siam. Ada juga yang bersekolah di sekolah yang sama tetapi tidak sedar mereka sebenarnya bersaudara," ujar Ruzelan yang dikenali sebagai Ayah Nik dalam keluarga.

Menurut pengerusi jawatankuasa penganjuran hari keluarga itu, Mat Hasan Mohamood, 54, sambutan hari keluarga itu di luar jangkaan.

"Keluarga kami setakat ini terdiri daripada kira-kira 600 orang. Jangkaan kami hanya 200 orang saja yang akan hadir pada tahun pertama ini. Sebaliknya, seramai 520 orang yang datang. Jadi ia sudah jauh melebihi sasaran," kata cucu Tok Mok Yah.

Dokumentasi

Satu langkah sistematik yang diusahakan jawatankuasa itu termasuklah membukukan salasilah keluarga mereka.

"Dalam salasilah itu kami turut menyenaraikan maklumat berupa umur, alamat rumah, nombor telefon, pekerjaan dan sebagainya untuk membolehkan perhubungan kekeluargaan ini dapat terus disambung," tambah Mat Hasan.

Acara itu juga katanya, memudahkan kerja-kerja pembancian dijalankan.

"Ada ahli keluarga yang lebih susah, ada juga yang lebih senang. Apabila sudah kenal semua ahli keluarga, lebih mudah bantuan dapat disalurkan kepada yang lebih memerlukan," ujar pengusaha buah naga di Alor Pasir, Tanah Merah itu.

SALAH seorang ahli keluarga Tok Mok Yoh yang hadir pada perhimpunan hari keluarga 3 Syawal lalu.

Susulan daripada penganjuran itu, beliau dan ahli jawatankuasa yang lain mendapati cara terbaik untuk mengadakan hari keluarga seperti itu akan diadakan setiap dua tahun.

"Kami sedar ada yang berkahwin dengan orang luar (bukan Kelantan). Jadi dengan mengadakannya setiap dua tahun dapat mengelakkan mana-mana ahli keluarga terlepas peluang bertemu sanak saudara di sini," kongsinya.

Antara lain program lanjutan daripada perhimpunan itu termasuklah menubuhkan koperasi keluarga dan tabung kebajikan.

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan