selamat menonton
Latest News

Jangan Biarkan ISLAM dihina.

Khamis, 13 Ogos 2009 , Posted by perkasan at 8:20 PTG

TPM hairan kenyataan Nik Aziz


MUHYIDDIN Yassin meletakkan balang berisi ikan semasa merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, Melaka, semalam sambil diperhatikan oleh Noh Omar dan Mohd. Ali Rustam.


MELAKA 13 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hairan dengan sikap Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang membiarkan segelintir pemimpin DAP menghina Islam.

Beliau berkata, sebagai seorang tokoh agama dan ketua kerajaan negeri, Nik Abdul Aziz sepatutnya mempertahankan Islam daripada dihina.

“Saya pun hairan dan takjub (berasa aneh), seorang tokoh agama (Islam) boleh menghalalkan orang lain menghina Islam,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan 2009 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas sikap Nik Abdul Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam kerana beliau (Nik Aziz) berpendapat DAP bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap agama rasmi Persekutuan itu mungkin tidak mendalam.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, perbuatan menghina agama sama ada Islam atau bukan Islam tidak harus dilakukan kerana ia boleh merosakkan kestabilan, keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini.

“Di Malaysia ini keadaan, negara yang stabil, aman kerana kita menghormati antara lain soal budaya dan agama, kita sudah lama buat, sudah hampir... tak lama lagi 52 tahun negara merdeka, satunya teras ialah menghormati agama, budaya, kaum yang ada dalam negara kita,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya “fatwa” Nik Abdul Aziz itu boleh diguna pakai maka akan berlaku huru-hara dan akhirnya rosak Malaysia.

“Jadi saya percaya, kalau pun untuk raih sokongan, nak popular, soal Islam tidak boleh dikorban, soal maruah dan martabat agama mesti dipertahankan,” katanya.

Katanya, Pas bukan sebuah parti yang mempertahankan agama Islam walaupun pemimpin mereka melaungkan slogan membangun bersama Islam.

“Ini yang saya cukup bimbang pemimpin Melayu yang berkata juara pertahankan Islam tetapi dia tidak menunjukkan sikap yang bertanggungjawab, bahaya itu.

“Saya nak beri amaran kepada orang Melayu jangan dengar cakap pemimpin Pas yang cakap tidak serupa bikin, dia kata nak membangun bersama Islam tetapi dia buat hal-hal yang membawa kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.

Muhyiddin berkata, Nik Abdul Aziz yang dikatakan tokoh agama, sepatutnya memberi amaran atau menasihati kalangan pemimpin DAP terbabit supaya jangan menghina Islam.

Beliau yang bimbang dengan kenyataan Nik Abdul Aziz itu berkata, hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mempertahankan agama. – Bernama

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan