selamat menonton
Latest News

Nik Aziz dan Politik Pecah Melayu

Sabtu, 22 Ogos 2009 , Posted by perkasan at 4:08 PTG

Cendekiawan Islam selar Nik Aziz putar-belitkan isu

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diselar beberapa cendekiawan Islam kerana memutarbelitkan kenyataan beliau sendiri berhubung ketentuan syurga dan neraka penyokong UMNO.

Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Prof. Datuk Dr. Mohd. Yusof Hussein berkata, tindakan Nik Abdul Aziz mempersoalkan ketetapan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan semalam adalah salah dan berniat lari daripada isu pokok.

"Tindakan Nik Abdul Aziz mengatakan bukan hak mutlak Allah SWT menentukan syurga atau neraka seseorang itu apa? Siapa beliau? Jika Allah tiada hak mutlak, Nik Aziz ada?

"Saya nasihatkan beliau supaya jangan lari daripada isu pokok dan dia harus ingat, jawatankuasa tempoh hari dianggotai oleh lebih 10 cendekiawan agama yang tidak mempunyai kepentingan politik," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Minggu lalu, Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa prinsip Islam yang dibawa UMNO bukan prinsip sejati dan tidak boleh dibawa ke syurga.

Sehari selepas itu, Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin menjelaskan, kenyataan Menteri Besar Kelantan berkenaan menyeleweng daripada ajaran Islam kerana ketentuan balasan syurga atau neraka hanya dibuat oleh Allah SWT.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz membantah keputusan jawatankuasa itu dengan mengatakan sekiranya urusan syurga atau neraka merupakan hak mutlak Allah, maka manusia akan bebas melakukan kejahatan di dunia tanpa mengambil kira soal dosa dan pahala.

Mohd. Yusof menegaskan, Nik Abdul Aziz harus menjawab isu penyokong UMNO yang 'difatwakan' beliau sebagai tidak layak masuk syurga, bukannya mengeluarkan kenyataan baru di luar konteks perbincangan.

Pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abdul Majid menegaskan, Nik Abdul Aziz tidak harus mengeksploitasi kenyataan Majlis Fatwa Kebangsaan bagi memperlihatkan kebenaran berada di pihaknya.

"Semua pihak perlu menilai kenyataan Nik Abdul Aziz sebagai kenyataan seorang ahli politik, bukan ahli agama.

"Kebijaksanaan beliau berpolitik dan menggunakan isu agama berupaya memperlihatkan kebenaran di pihaknya, namun beliau perlu berani berterus terang untuk menyatakan pendiriannya adalah pendirian politik," katanya.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad pula memberitahu, Nik Abdul Aziz tidak harus sewenang-wenangnya 'melompat' dari satu isu ke isu yang lain.

"Dalam hadis 40 Imam Nawawi, ada mengatakan bahawa seseorang kafir yang memeluk Islam sebelum akhir hayatnya diberikan balasan syurga walaupun tidak sempat bersembahyang, asalkan dia ikhlas.

"Jadi bukankah ketentuan syurga atau neraka itu hak mutlak Allah SWT? Bagaimana Nik Abdul Aziz boleh keluarkan kenyataan begitu, jangan ikut sedap otak sendiri," tegasnya.

Nakhaie yang juga bekas pemimpin tertinggi Pas pada akhir 80-an bagaimanapun mengakui isu ketentuan syurga dan neraka melibatkan satu perbincangan yang panjang.

Justeru katanya, semua pihak diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan hanya berpandukan kepentingan sendiri.

Currently have 0 ulasan:

Leave a Reply

Catat Ulasan